Siakap Keli
dawn raid 1981

Dawn Raid 1981, Kisah Malaysia Rampas Syarikat British Waktu Subuh

Dawn Raid 1981, Kisah Malaysia Rampas Syarikat British Waktu Subuh 

Tahukah anda tentang kisah dan sejarah yang digelar Serangan Subuh atau Dawn Raid 1981. Serangan Subuh yang hanya memerlukan empat jam telah menjadikan kerajaan Malaysia sebagai pemegang saham terbesar dalam Syarikat Guthrie milik British.

Serangan yang telah diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dua lagi watak utama serangan ini iaitu Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim (Pengurus Pelaburan) dan Allahyarham Tun Ismail Ali (Gabenor Bank Negara kedua).

Apa Punca Serangan Subuh?

Ada beberapa punca menjadi asbab Tun Mahathir mahukan serangan ini berlaku. Antara punca utama adalah Syarikat Guthrie berkali-kali menolak cadangan kerajaan Malaysia untuk menanam semula pokok getah, bagi membantu penoreh getah dan petani Melayu meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Malah mereka kerap kali menangguhkan mesyuarat bersama wakil kerajaan Malaysia. Selepas desakan Bank Negara Malaysia (BNM), Guthrie akhirnya menubuhkan anak syarikat Guthrie-Gospel yang mempunyai 17% saham tanah di Malaysia daripada kesemua tanah milik Guthrie.

Dengan penubuhan anak syarikat itu, melalui Kuala Lumpur Stock Exchange, rakyat tempatan dibenarkan membeli tanah yang dimiliki oleh Guthrie. Tetapi, dikhabarkan tanah-tanah yang dijual kepada rakyat tempatan terletak di kawasan bukit dan tidak sesuai untuk pertanian.

Selain punca utama ini, beberapa tempoh sebelum Serangan Subuh, kerajaan British mewujudkan undang-undang baharu dengan menghentikan subsidi pendidikan pelajar Malaysia di United Kingdom. Malah, menaikkan kadar yuran pengajian kepada pelajar asing dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Pelaksanaan undang-undang ini jelas membebankan pelajar Malaysia yang belajar di sana. Yuran meningkat mencecah tiga kali ganda dari sebelumnya. Rakyat Malaysia dan Tun Mahathir tidak berpuas hati kerana Malaysia menghantar ramai pelajar belajar di sana pada ketika itu.

Punca-punca yang lain termasuk British menolak cadangan Malaysia untuk menambah hak pendaratan Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Heathrow. Tambahan lagi, British menceroboh ruang udara Malaysia menggunakan kapal Supersonic yang dalam perjalanan ke Singapura.

Tun Ali juga sangat tidak berpuas hati dengan Guthrie. Antara sebabnya adalah pada tahun 1981 kebanyakkan aset Guthrie dijual kepada sebuah syarikat jutawan Malaysia tanpa pengetahuan PNB selaku pemegang saham 25% dalam Guthrie.

Hubungan Tun Ali dengan kepimpinan tertinggi Guthrie jugak sangat dingin. Sehingga Tun Ali telah mengarahkan semua duit yang dimasukkan ke dalam bank milik British seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank tempatan.

Langkah Awal Sebelum Serangan Subuh

Setahun sebelum Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Tun Ali sudah memaklumkan niat beliau untuk mengambil alih syarikat Guthrie daripada British secara senyap melalui pembelian saham daripada syarikat-syarikat besar milik mereka.

 

Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertugas sebagai pengurus pelaburan di sebuah agensi kerajaan ditugaskan untuk mengkaji dan memastikan segalanya berjalan lancar ketika Serangan Subuh berlangsung.

Khalid Ibrahim yang pernah bekerja di Barings, London yang merupakan salah sebuah syarikat penasihat kewangan Guthrie bersama pakar-pakar pelabur Malayasia serta penasihat-penasihat dari bank NM Rothschild & Sons Ltd diminta untuk kaji jika serangan ini boleh terlaksana dan merangka strategi terpeinci bagi melaksanakannya.

Modal RM 1billion

Selepas kajian menyeluruh dibuat, ada kecacatan pada Akta London Stock Exchange (LSE) yang boleh dimanipulasi. Kelemahan ini digunakan sepenuhnya oleh pasukan Tun Mahathir untuk mengambil alih Guthrie. Syaratnya mudah, hanya perlu dilakukan dengan pantas dan secara rahsia tanpa dikesan oleh British.

Tun Mahathir meluluskan modal sebanyak £282 juta atau lebih kurang RM 1billion pada ketika itu (kini RM 1.6billion) yang diperoleh daripada tiga sumber iaitu Petronas, Pernas dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Rothschild menasihatkan Khalid untuk membuka satu akaun bank di Switzerland bagi proses pembayaran pembelian saham supaya semua pembelian gagal dikesan oleh pihak British.

Kenapa Guthrie Menjadi Sasaran

Banyak syarikat British yang bertapak di Malaysia tetapi kenapa Guthrie menjadi easy target dalam serangan ini? Ini kerana PNB sudah sedia ada memegang saham 25% dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 15% sahaja lagi untuk mengambil alih syarikat itu.

Rothschild dilantik untuk meyakinkan M&G Investment yang memegang sebanyak 17% menjual sahamnya kepada PNB dan syarikat broker Rowe & Pitman ditugaskan membeli saham-saham minoriti kebanyakkannya milik rakyat British.

DAWN RAID Bermula (7 September 1981, 4 pagi waktu Malaysia)

Kenapa serangan ini perlu dimulakan seawal 4 pagi? Kerana ia perlu diselesaikan sebelum LSE dibuka. Selepas semuanya selesai nanti, kerajaan akan mengumumkan berita tergempar ini dan hanya perlu menguruskan hal-hal dokumentasi sahaja sebagai kejutan kepada Guthrie.

Jika pendedahan awal dibuat atau serangan ini dimulakan lewat, harga saham akan meningkat dan Guthrie boleh bertindak untuk menghalang semua ini berlaku.

Tan Sri Khalid diberi tugas menyelesaikan pembelian saham tempatan daripada Genting, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kuwait Investment Group (KIG). Beliau optimis dan tiada masalah untuk mendapatkan saham dari kesemua tiga pemegang saham kerana mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Malaysia.

dawn raid 1981

Tun Ali dalam masa yang sama sudah berada di Singapura untuk meyakinkan bank OCBC menjual saham miliknya. Namun, ia tidak berjalan seperti yang dirancang kerana OCBC menolak penawaran Malaysia walau ditawar dengan harga yang tinggi.

Namun, semuanya masih di landasan yang tepat apabila Rothschild berjaya membeli saham dari M&G Investment sebanyak 11% dan Rowe&Pitman berjaya membeli 5% saham lagi. Tidak sampai empat jam, PNB menjadi pemegang saham terbesar dalam Guthrie sebanyak 50.41% (7,995 juta saham).

Ketika LSE dibuka, Malaysia membuat pengumuman tersebut dan pengerusi Guthrie, Mark Gent mengetahui hal ini hanya melalui berita radio. Pada petang 7 September 1981, setelah semua dokumentasi selesai, Guthrie sah milik Malaysia.

Kesan Dawn Raid 1981

Sudah pasti serangan ini memberi tamparan hebat buat British. Tambahan pula Malaysia adalah negara yang pernah menjadi jajahan British. Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher hanya mengetahui hal ini beberapa hari kemudian.

Kerajaan British dengan pantas mengetatkan undang-undang dan akta LSE bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Broker-broker di London menganggap Malaysia sebagai licik manakala media British mengutuk tindakan ini sebagai ‘Nasionalisasi Pintu Belakang’.

Kesan lain yang berlaku, selepas tiga bulan kejadian, kebanyakan saham Guthrie beransur-ansur menjadi milik Malaysia. Pada pengujung 1981, Guthrie seratus peratus menjadi milik Malaysia.

Tun Ismail mengambil alih pengurusan Guthrie dan memindahkan ibu pejabatnya dari London ke Kuala Lumpur. Ia sebagai simbolik berakhirnya kuasa British terhadap syarikat tersebut. Serangan Subuh ini telah memberi impak sangat besar dalam jangka masa panjang.

Antara impak yang jelas, syarikat-syarikat British di Malaysia mula ‘mesra’ dan bersedia untuk berunding untuk terma-terma baharu. Selain itu, tiga buah syarikat perladangan British di Malaysia iaitu Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C) menjual hak milik kepada kerajaan Malaysia.

Hasil keuntungan dari aset baharu ini jelas melebihi modal yang dikeluarkan untuk menjalankan misi Serangan Subuh (RM 1billion). “Kita sebenarnya mendapatkan Guthrie secara percuma,” kata Khalid.

dawn raid 1981

Tahun 1983, Tun mahathir mengadakan mesyuarat bersama PM Britain dan beberapa kata sepakat telah dimeterai. Antaranya, British menawarkan £160 juta subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia di UK. Malaysia Airlines diberi hak pendaratan di Lapangan Terbang Heathrow seperti yang dituntut sebelum ini.

Pada tahun 2007, Guthrie telah digabungkan dengan Sime Darby dan kini nama syarikat Guthrie sudah tiada lagi. Hanya sejarah Serangan Subuh ini sahaja yang kekal menjadi antara sejarah besar buat negara dan dunia.

Dikesempatan ini, sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dan Tun Ismail Ali yang telah pergi ke Rahmatullah. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah…

Sumber: Cambridge, APHD

BACA: Ini Peranan Tan Sri Syed Danial Dan Sejarah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja 

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.