Meter Elektrik Meletup, Rumah Anak Yatim Ini Pohon Sumbangan Baiki Kerosakan
Banyak rumah perlindungan anak yatim di negara ini masih lagi memerlukan sumbangan anda untuk meneruskan menampung kelangsungan hidup penghuninya.
Disebalik untuk menampung kelangsungan hidup dari segi makan dan pakai, mereka juga memerlukan sumbangan anda dalam membaik pulih kerosakan atau kejadian buruk yang menimpa rumah anak yatim tersebut.
Terbaru sebuah rumah anak yatim di bawah pantauan Pertubuhan Jariah Qaseh telah ditimpa satu kejadian yang tidak diingini.
Kisah malang itu telah dikongsikan oleh aktivis masyarakat yang dikenali sebagai Natipah Abu.
Natipah telah berkongsikan kejadian yang melibatkan letupan kecil pada meter elektrik rumah anak yatim tersebut.
Perkongsian yang dimuat naik di Facebook miliknya menyatakan bahawa, kejadian dikatakan berlaku pada Selasa lalu sekitar jam 6.50 pagi.
Menurutnya yang lebih mesra disapa sebagai Kak Pah, beliau telah menerima panggilan daripada penyelia rumah anak yatim itu berhubung kejadian tersebut.
“Sebaik menjawab panggilan tersebut, Kak Pah dengar suara penyelia kita , Cik Tie dalam keadaan panik memaklumkan ada letupan kecil di meter letrik di dalam rumah anak yatim kita,” tulisnya berkongsi detik kejadian malang itu.
Ketika kejadian, penghuni rumah itu dikatakan sedang bersiap untuk pergi ke Kuala Lumpur.
Letupan kecil dipercayai telah berlaku pada meter eletrik rumah itu lalu api juga dikatakan telah menyambar papan meter.
Keadaan menjadi tidak kelam-kabut dan semua penghuni berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, mujur rumah tersebut dilengkapi dengan kelengkapan pemadam api yang lengkap dan baru sahaja diservis oleh bomba.
Api kemudiannya berjaya dipadam selepas salah seorang daripada penghuni telah bertindak pantas mencapai pemadam api tersebut lalu menyemburnya ke arah api.
Ekoran kejadian itu, tiga buah kereta bomba telah dikerahkan ke rumah anak yatim itu.
BACA: Ramai Lega, Masalah Lif PPR Selesai Selepas Tindakan Ini, Siap Nak Bagi Internet Percuma
Hasil siasatan pasukan Bomba, mereka mendedahkan bahawa pendawaian yang telah lama di rumah itu perlu diperiksa semula.
Kak Pah turut menjelaskan bahawa kejadian itu bukanlah berpunca daripada penggunaan elektrik yang berlebihan. Ini kerana rumah tersebut hanya memiliki satu pendingin hawa sahaja.
Sehingga kini kos baik pulih tidak diketahui ekoran belum berbincang dengan kontraktor yang berkaitan.
Bagaimanapun, kesemua penghuni rumah tersebut selamat dan tiada kecederaan jiwa yang dilaporkan berlaku.
Oleh itu, pada hari Jumaat yang penuh dengan limpahan barakah daripada Allah S.W.T, anda boleh menyalurkan sedikit bantuan kepada yang memerlukan menerusi:
PERTUBUHAN JARIAH QASEH – 552107617521 (Maybank) & 552107634719 (Maybank)
Sekecil nilai bantuan yang disalurkan dapat memberikan kelapangan kepada saudara kita yang memerlukan untuk melengkapkan keperluan asas dalam kehidupan.
Sumber: Facebook/Natipah Abu