“Jangan Tambah Garam” Ini 6 Tips Rebus Jagung Dengan Betul
Jagung merupakan sejenis tumbuhan yang berada di dalam kategori buah dan ia cukup popular di kalangan penduduk di Asia.
Pelbagai juadah boleh dilakukan dengan hanya menggunakan buah jagung ini, antaranya jagung bakar dan sesetengah negara jagung juga dimasukkan dalam menu berasaskan sup.
Kebiasaannya bagi orang di Malaysia pula, menu jagung rebus sering menjadi pilihan utama. Jagung rebus yang sudah siap boleh dicampurkan dengan mentega, susu, keju dan macam-macam lagi.
Namun begitu, dalam proses merebus jagung, ramai sebenarnya melakukannya dengan cara yang salah.
Untuk mendapatkan jagung rebus yang sedap dan segar, terdapat beberapa cara anda perlu ikuti.
Oleh itu, untuk mengetahui bagaimana cara atau tips yang mudah untuk merebus jagung, mari ikuti perkongsian daripada SK pada kali ini.
Perkongsian ini telah dikongsikan oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama Berkebun Di Rumah.
Menurut perkongsian itu, tips pertamanya adalah jangan tambah garam semasa merebus jagung. Garam dikatakan boleh menyebabkan isi jagung menjadi keras.
Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan menaburkan sedikit garam halus selepas proses rebusan dilakukan.
Tips seterusnya adalah semasa merebus jagung, anda boleh meletakkan sedikit gula di dalam air rebusan jagung untuk mendapatkan rasa yang sedap dan manis.

Biar air mendidih baru masukkan jagung
Tips merebus jagung yang ketiga adalah biarkan air mendidih terlebih dahulu sebelum masukkan jagung yang sudah dikupas.
Selepas jagung dimasukkan tunggu air mendidih lagi sekali dan kecilkan api lalu rebus dalam keadaan reneh selama lima ke 10 minit.
Apabila jagung sudah siap dimasak, anda boleh sapukan butter dan taburkan sedikit garam serta sedikit serbuk lada putih untuk mendapatkan rasa yang berbeza.
Selain itu, selepas membeli jagung segar, jangan biarkan ia terdedah di luar kerana ia boleh menyebabkan jagung akan kehilangan kemanisan semula jadinya.
Sebaliknya, selepas membeli jagung segar dengan kulit yang masih hijau anda perlu terus simpan ia di dalam peti sejuk.
Tips yang terakhir adalah, jika anda ada menanam sendiri jagung pastikan untuk memetik jagung pada waktu pagi.
Selepas petik pastikan simpan di dalam peti sejuk untuk memastikan kesegaran dan rasa manis buah jagung bertahan lama.
Bagaimana dengan perkongsian pada kali ini? Diharapkan ia dapat memberikan manfaat dan ilmu kepada para pembaca.
Sumber: Facebook/Berkebun Di Rumah