Siakap Keli
terengganu beras jenama sendiri
Gambar: Sinar Harian

Tampung Keperluan Penduduk, Terengganu Giat Tingkatkan Pengeluaran Beras Jenama Sendiri 

Tampung Keperluan Penduduk, Terengganu Giat Tingkatkan Pengeluaran Beras Jenama Sendiri 

KUALA TERENGGANU — Berikutan kenaikan harga beras import baru-baru ini, Kerajaan Negeri Terengganu kini giat meningkatkan pengeluaran beras jenama sendiri, iaitu Beras Ganu.

Memetik laporan Sinar Harian, langkah tersebut diusahakan oleh anak syarikat Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) untuk memenuhi permintaan terhadap makanan ruji itu terutamanya dalam kalangan pengguna tempatan dan luar Terengganu.

Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, sebanyak 100 tan metrik pengeluaran beras Super Special Tempatan (SST) di bawah jenama Beras Ganu MyGAP dipertingkatkan sebulan.

Sebelum ini, hanya 60 tan metrik Beras Ganu dikeluarkan sejak Julai lalu.

Gambar: Sinar Harian

Kata Dr Azman, anak syarikat itu membungkus dan mengedar beras berkualiti tinggi dari sawah padi tempatan yang berstatus Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP.

“Kerajaan Negeri terus bekerja keras bagi meningkatkan pengeluaran beras negeri dengan beberapa strategi antaranya pembukaan sawah padi baharu, mengekalkan sawah padi sedia ada tanpa ditukar syarat, menaik taraf infrastruktur ladang serta sistem pengairan dan kesuburan tanah.

“Selain itu, kita juga akan menaik taraf kawasan penanaman sekali setahun kepada dua kali setahun bagi membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya sewaktu dihubungi Selasa lalu.

BACA JUGA: Bukan Saja-saja Letak, Rupanya Ini Maksud Kod Warna Pada Bungkusan Beras Ramai Tak Tahu

Sementara itu, beliau berkata selepas penanaman padi musim pertama di Terengganu berakhir pada Jun lalu, TADC bakal berkolaborasi dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mendapatkan tambahan beras.

Selain itu, TADC juga telah membuat pembelian beras daripada beberapa kilang padi di negeri ini dengan nilai RM270,000. Alternatif itu bagi proses pembungkusan dapat dilakukan sebelum dibekalkan kepada pengedar tunggal yang dilantik untuk dipasarkan.

“Sementara menunggu pengeluaran padi musim kedua, kita akan membeli beras tempatan dikeluarkan beberapa kilang Bernas di negeri ini.

“Pembelian beras tempatan dari kilang Bernas diperlukan untuk menampung permintaan sumber makanan ruji oleh penduduk di negeri ini,” katanya lagi.

Harga Dikawal

Gambar: Sinar Harian

Menurut Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi itu, ketetapan harga bagi makanan ruji berkenaan di bawah kawalan Bernas.

“Siapa pun pengedar dan pembungkus, perlu patuh kepada harga siling yang ditetapkan. Walaupun berlaku kenaikan harga beras putih import, kita di Terengganu akan pastikan tiada kenaikan harga beras keluaran TADC.

“Harga Beras Ganu My GAP kini dijual pada harga RM12.90 bagi setiap lima kilogram (kg) dan RM25.60 bagi setiap 10kg,” jelasnya lagi.

Pengeluaran Beras Meningkat

Difahamkan, jumlah pengeluaran padi di negeri tempatan juga meningkat kepada 75,013 tan metrik pada 2021. Pada 2020, jumlah pengeluaran yang direkodkan adalah sebanyak 73,068 tan metrik.

“Kita berdepan penurunan hasil pengeluaran padi pada tahun lalu disebabkan faktor banjir luar jangka yang berlaku pada bulan Februari dan Disember. Banyak kawasan padi dan tanaman lain musnah dan turut berdepan serangan wabak penyakit,” maklum Dr Azman.

Untuk makluman, Kilang Padi Konsortium PP Terengganu Sdn Bhd milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kampung Dalam Oh, Jabi merupakan salah satu kilang  yang memproses hasil padi milik pesawah di Terengganu.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.