Harimau Muda Layak Ke Piala Asia B-23?
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan secara teknikalnya layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan.
Berdasarkan kiraan, skuad Harimau Muda kendalian E. Elavarasan muncul antara empat naib juara terbaik daripada 11 kumpulan selain mempamerkan rekod disiplin lebih baik berbanding pencabar terdekat Iran yang mengumpul lebih tiga kad kuning atau merah.
Tiga pasukan naib juara terbaik iaitu Kuwait, Tajikistan dan China terlebih dahulu telah mengesahkan tiket ke Qatar.
Wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika dihubungi Bernama berkata ketika ini pihaknya masih menunggu pengumuman rasmi daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 pada edisi 2018 dan 2022.
BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas
Pada perlawanan terakhir Kumpulan H di Stadium Chonburi, Bangkok semalam, pasukan kebangsaan tewas 0-1 kepada tuan rumah Thailand.
Sementara itu, mengenai perlawanan malam tadi, Elavarasan berkata anak buahnya telah bermain bermati-matian namun nasib tidak menyebelahi mereka.
“Ia adalah perlawanan yang kita perlu tentukan siapa perlu menang, siapa perlu kalah dan Thailand telah menggunakan peluang mereka. Kami juga sudah cuba bersungguh-sungguh tapi tidak dapat menyamakan kedudukan.
“Pemain telah mencuba sehabis baik, mereka telah menunjukkan peningkatan dari segi serangan tapi kita masih tidak dapat menghasilkan jaringan,” katanya menerusi rakaman audio kepada media.
Sumber: BERNAMA