Siakap Keli
Kereta Axia terbalik
Kredit Sinar Harian

Kereta Axia Dirakam Melambung Sebelum Terbalik, Bergesel Dengan Kereta Keluar Simpang

Kereta Axia Dirakam Melambung Sebelum Terbalik, Bergesel Dengan Kereta Keluar Simpang

Seorang lelaki dilaporkan cedera selepas kereta yang dipandunya terbalik akibat bergesel dengan sebuah kenderaan yang keluar secara melulu di sebuah persimpangan, lapor Sinar Harian.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah simpang keluar di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Taman Song Choon pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, video rakaman kejadian insiden itu telah tular di media sosial pada Isnin lalu.

Kejadian tersebut membabitkan dua kereta iaitu Nissan Almera dan Perodua Axia.

“Siasatan mendapati nahas itu berlaku sekitar jam 3.08 petang apabila Nissan Almera yang dipandu wanita berusia 21 tahun itu keluar dari simpang.

“Ketika membelok ke kanan menghala ke Jalan Sultan Nazrin Shah, kenderaan itu bergesel dengan kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 31 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Menurut Yahaya, kemalangan itu telah menyebabkan kereta lelaki itu terbabas lalu terbalik ke kiri jalan tersebut.

“Dalam kejadian itu, wanita terbabit tidak cedera manakala pemandu lelaki mengalami cedera ringan dan dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Kes disiasat di bawah Kaedah 3(2)(B) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan satu saman dikeluarkan terhadap wanita berkenaan,” katanya.

Kanak-Kanak Empat Tahun Maut Dalam Kemalangan, Pemandu Warga Singapura Direman

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas motosikal yang ditunggang bapanya ketika pulang dari tadika terlibat dalam kemalangan.

Kemalangan dilaporkan berlaku di kilometer 16 Jalan Sua Betong, Air Kuning, Negeri Sembilan kira-kira jam 1.30 petang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson.

Menurut Aidi Sham, ketika kejadian, penunggang motosikal yang merupakan juruteknik Ladang Sua Betong sedang dalam perjalanan pulang.

Mereka dalam perjalanan selepas mengambil anaknya dari Pasti Al Hasan, Taman Desa Port Dickson.

Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah kereta Mercedes yang dipandu oleh seorang lelaki warga Singapura berusia 33 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah Air Kuning menghala ke Sua Betong.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta berkenaan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal yang sedang membelok ke simpang kanan menghala ke Ladang Sua Betong,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.