Siakap Keli
KPDN Kelantan minyak masak
Gambar: KPDN Kelantan

KPDN Kelantan Rampas 2.3 Tan Minyak Masak Bersubsidi

KPDN Kelantan Rampas 2.3 Tan Minyak Masak Bersubsidi

KOTA BHARU, 13 Sept (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 2.3 tan metrik minyak masak bersubsidi dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM46,454 dalam satu serbuan di belakang sebuah bengkel lori di Padang Pak Amat, Pasir Puteh semalam.

Pengarahnya Azman Ismail berkata serbuan menerusi Ops Mencegah Ketirisan Barang Kawalan itu dilakukan pada 2 petang susulan penahanan seorang lelaki selepas sebuah kenderaan penyeludup minyak masak bersubsidi terbalik di Kampung Gaung, Pasir Mas Isnin lepas.

“Ketika serbuan dilakukan di stor belakang bengkel itu, kami mendapati seorang wanita berusia 65 tahun sedang memotong plastik minyak subsidi sekilogram untuk dimasukkan ke dalam tong terpakai.

Turut ditemukan bungkusan minyak masak bersubsidi yang telah dipotong plastiknya selain 12 tong terpakai yang ditampal pelekat bertulis bahan kimia yang baru diisi kira-kira 64kg minyak masak dipercayai untuk di seludup ke negara jiran melalui jalan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Stor Penyimpanan KPDN di Kawasan Perindustrian Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

BACA LAGI: KPDN P.Pinang Rampas 22,840 Liter Diesel Bersubsidi Cuba Diseleweng

Sementara itu Azman berkata siasatan lanjut mendapati premis terlibat mula menjalankan aktiviti itu sejak tiga bulan lepas dengan bekalan minyak bersubsidi berkenaan diperoleh dari negeri berhampiran selain hasil keluaran tempatan.

“Ini merupakan kes pertama yang menggunakan modus operandi sebegini bagi mengelak aktiviti penyeludupan berkenaan dikesan pihak berkuasa.

Kami percaya bahan asas ini juga akan dijual dengan harga yang lebih mahal bagi mengaut keuntungan,” katanya.

Dalam serbuan sama KPDN turut merampas 240kg gula selain sebuah lori dan peralatan pengisian semula minyak bersubsidi itu.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Azman berkata sehingga kini 642 tindakan kes direkodkan dengan rampasan keseluruhan berjumlah RM3.54 juta termasuk 238 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bernilai RM2.89 juta.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?