Siakap Keli
Agong surat petisyen
Gambar: Fb Istana Negara

Agong Berkenan Baca Setiap Surat & Petisyen Rakyat Sabah & Sarawak, Akan Serah Kepada PM

Agong Berkenan Baca Setiap Surat & Petisyen Rakyat Sabah & Sarawak, Akan Serah Kepada PM

KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membaca setiap surat dan petisyen yang dipersembahkan oleh rakyat negeri Sabah dan Sarawak kepada Baginda.

Istana Negara menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi menyatakan, surat dan petisyen itu diterima baginda sepanjang pengembaraan “Kembara Kenali Borneo” selama 11 hari yang berakhir semalam.

Difahamkan, Seri Paduka Baginda juga akan menyerahkan setiap surat dan petisyen itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak yang telah sudi berkongsi kisah suka dan duka serta pelbagai masalah menerusi surat dan petisyen tersebut,” maklum Istana negara.

Gambar: Fb Istana Negara
Gambar: Fb Istana Negara

Kembara Kenali Borneo

Untuk makluman, Kembara Kenali Borneo berlangsung pada 3 September hingga 13 September lalu dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Kembara ini dapat memberikan peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi.

BACA JUGA: Wanita Teruja Agong Dan Permaisuri Pilihkan Nama Anak, Siap “Frame” Buat Kenangan

Istana Negara dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah telah berangkat dalam perjalanan “Kembara Kenali Borneo” di Bulatan OKM Padang Perbandaran Tawau, Sabah,

“Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda, mengetuai konvoi kembara 25 kenderaan dengan acara pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada jam 8.30 pagi.

“Turut berangkat mengikuti program kembara sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah paduka anakanda, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua serta rombongan menarik minat masyarakat setempat keluar beramai-ramai menunggu dan ingin melihat lebih dekat serta merakamkan detik bersejarah bersama Seri Paduka Baginda dan rombongan,” maklum kenyataan tersebut.

Sumber: Istana Negara

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.