Mak Harry Maguire ‘Kecik’ Hati & Kecewa, Anak Selalu Kena Kritik Dengan Peminat Bola
Harry Maguire merupakan bintang bola sepak yang beraksi bersama Manchester United. Untuk pasukan kebangsaan pula, beliau merupakan antara tonggak utama di benteng pertahanan England.
Aksi beliau di atas padang, apabila disenaraikan sebagai kesebelasan utama ataupun diturunkan sebagai pemain gantian, sentiasa mencuri tumpuan.
Walau bagaimanapun, sejak beberapa musim yang lepas, prestasi pemain kesayangan ramai peminat bola, khususnya peminat MU ini mula menunjukkan penurunan.
Beberapa kesilapan mudahnya di atas padang, termasuk terbaru menjaringkan gol sendiri ketika bertemu Scotland sering menjadi topik perdebatan. Bukan sahaja dalam kalangan peminat bola sepak biasa, malah ia turut dibahaskan oleh pundit-pundit rancangan bual bicara bola sepak di kaca televisyen.
Adakalanya, perbahasan berkenaan mudah bertukar menjadi kritikan, yang tidak dinafikan ada masanya berlebihan. Khuatir kritikan-kritikan tersebut mungkin memberi kesan kepada anaknya, ibu Maguire tampil mengeluarkan satu kenyataan.
Kenyataan ibu Maguire itu turut dikongsikan oleh wartawan sukan terkemuka dunia, Fabrizio Romano melalui media sosialnya hari ini.
”Sebagai ibu, melihat komen-komen negatif dan membuli yang dibuat oleh peminat, pundit dan media kepadanya, amat menjengkelkan dan tidak boleh diterima oleh sesiapa pun.
”Apatah lagi dibuat kepada seseorang yang berjuang di atas padang demi kelab dan negaranya. Saya berada di kerusi peminat seperti biasa, memang tidak boleh diterima apa yang dibuat itu.
”Saya faham, dalam dunia bola sepak ini ada masa turun dan ada masa naik, positif dan negatif. Tetapi apa yang perlu dihadapi oleh Harry ini sudah melampau, kadang-kala langsung tiada kena-mengena dengan bola sepak.
Mak Harry Maguire luah rasa kecewa anak selalu kena kritik
”Untuk saya melihat apa yang perlu ditempuhi Harry setiap hari, ia adalah tidak okay. Saya takut untuk melihat ibu ayah atau pemain lain yang mungkin perlu berdepan nasib yang sama seperti Harry. Lebih-lebih lagi pemain muda yang hari ini beraksi di pentas tertinggi.
”Harry seorang yang berjiwa besar dan mujurlah mentalnya kuat dan boleh menangani kritikan yang mungkin tidak boleh dihadapi oleh orang lain.
“Saya berharap tiada lagi orang lain yang perlu melalui perkara seperti ini,” katanya.
BACA: Agong Berkenan Baca Setiap Surat & Petisyen Rakyat Sabah & Sarawak, Akan Serah Kepada PM
Sumber: Fabrizio Romano