Pandangan Mengenai DNAA Di Malaysia Tidak Selaras Dengan Hukum Jenayah Islam Adalah Tidak Tepat – Menteri Agama
PUTRAJAYA –– Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan bahawa Konsep Discharge Not Amounting To Acquittal (DNAA) yang diperuntukkan dalam undang-undang prosedur atau tatacara jenayah Syariah di Malaysia tidak selaras dengan hukum jenayah Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini berkata, undang-undang ini adalah berhubung rapat dengan prinsip maslahah yang perlu mengambil kira keadaan dan pendekatan semasa pelaksanaan sesuatu undang-undang agar ianya menepati objektif syarak dalam pentadbiran keadilan.
Hal ini berikutan isu berkenaan dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan ia tiada dalam Islam.
Tambahnya, undang-undang berkaitan hukum jenayah Islam dilaksanakan di mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia setakat bidang kuasa yang diberikan oleh Perlembangaan Persekutuan dan undang-undang bertulis yang lain.
“Undang-undang ini terdiri daripada undang-undang substantif iaitu berkaitan dengan kesalahan-kesalahan dan juga undang-undang prosedural iaitu berkaitan dengan tatacara.
“Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ini dan ianya berkuatkuasa hanya ke atas orang-orang Islam yang melakukan kesalahan di negeri berkenaan,” katanya.
Discharge Not Amounting To Acquittal (DNAA)
Discharge Not Amounting To Acquittal (DNAA) atau dilepaskan Tanpa Dibebaskan merupakan satu konsep yang diamalkan di dalam undnag-undang prosedur jenayah.
Konsep ini menetapkan bahawa Orang Kena Tuduh (OKT) dilepaskan buat sementara waktu atas permohonan pihak pendakwaan dan OKT boleh didakwa semula atas pertuduhan berkenaan di masa hadapan.
Dalam konteks mahkamah Syariah, DNAA ini diperuntukkan secara nyata di dalam Seksyen 10 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) yang memperuntukkan seperti berikut;
BACA JUGA: Apa Maksud Dilepaskan Tanpa Dibebaskan? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Seksyen 103, Pendakwa boleh berhenti daripada mendakwa selanjutnya pada mana-mana peringkat.
” (1) pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa boleh jika difikirkannya patut, memberitahu Mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu; dan sesudah itu semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran Mahkamah dan, jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu.
“(2) Pelepasan sedemikian tidaklah terjumlah kepada suatu pembebasan melainkan jika Mahkamah mengarahkan sedemikian,” maklumnya lagi.
Jelasnya lagi, peruntukan seperti Seksyen 103 Akta 560 ini juga terdapat di dalam semua Enakman atau Ordinan Prosedur atau Tatacara Jenayah Syariah negeri-negeri (kecuali di Negeri Kedah, ianya diperuntukkan di dalam Seksyen 104).
Dalam pada itu, peruntukan ini juga adalah sama dengan peruntukan seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) yang digunapakai di Mahkamah Sivil.
Akta 560 merupakan satu undang-undang yang telah diluluskan Parlimen pada 27 Mac 1997 dan telah berkuatkuasa pada 1 April 1097.
Akta ini merupakan satu undang-undang model yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, iaitu Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Ia untuk menggubal model undang-undang Islam bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman di seluruh negara.
Penggubalan akta ini telah dibuat dengan teliti bagi memastikan ianya memenuhi kehendak semasa pelaksanaan undang-undang Islam dan yang paling penting, akta tersebut tidak bercanggah dengan hukum Syarak.
“Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya Nizaam al-Qadha’ Fi al-Syari’aat al-Islamiyyah ada menyatakan bahawa Hakim boleh mengugurkan sementara dakwaan bagi membolehkan pendakwa mengemukakan semula saksi-saksi atau keterangan.
“Jika keputusan pengguguran kes oleh hakim bukan atas sebab kegagalan pihak pendakwa mengemukakan keterangan, maka pihak pendakwaan masih lagi boleh meneruskan pertuduhan berkenaan dengan mengemukakan saksi-saksi keterangan baru.
BACA JUGA: Zahid Serah Kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Ambil Langkah Pencerahan Isu DNAA
“Prinsip ini adalah menetapi konsep DNAA, di mana pertuduhan dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan di mana pertuduhan berkenaan boleh diteruskan semula di hadapan mahkamah di masa hadapan.
“Dr Abdul Kadir Audah di dalam kitab al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islamiyy menyatakan prinsip umum bahawa pemerintah diberi kuasa mutlak yang agak terbuka dalam mana-mana kesalahan takzir untuk memaafkan tertuduh pada semua peringkat prosiding mahkamah. Prinsip inilah yang terkandung dalam peruntukan berkaitan DNAA Mahkamah sebagaimana Seksyen 130 Akta 560 dan Seksyen 254 Akta 593.
“Rujukan kepada Kanun Prosedur Jenayah Qatar (No.3, Tahun 2004), terdapat juga peruntukan yang serupa di bawah seksyen 13 berkenaan kuasa Mahkamah untuk memberhentikan prosiding atas apa-apa sebab yang dibenarkan oleh undang-undang pada mana-mana peringkat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Justeru, DNAA merupakan satu konsep yang telah diterima pakai di dalam sistem perundangan Malaysia dan negara-negara luar, di Mahkamah Sivil ataupun Mahkamah Syariah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat.
Sumber: Twitter Dato; Setia Dr.Na’im