Selayang,16 September 2023 – AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. (AKRM), anak syarikat milik penuh Amanah Raya Berhad hari ini telah mengadakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat yang ke-2 pada tahun 2023, menerusi penganjuran Program Bazar Usahawan Wanita yang berlangsung selama tiga (3) hari. Bazar Usahawan ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita bertujuan untuk membantu golongan Wanita khususnya Ibu Tunggal yang baharu memulakan bidang perniagaan, untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung.
Program Bazar Usahawan Wanita yang bertempat di Selayang Mall telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita, Yang Berbahagia Datin Izzatul Shima Md Thahir. Beliau telah diiringi oleh Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd., Yang Mulia Tunku Rozita Tunku Abdul Malek dan Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan.
Yang Mulia Tunku Rozita Tunku Abdul Malek dalam ucapan aluannya berkata, ‘AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd. sentiasa proaktif untuk membantu golongan yang memerlukan khususnya Ibu Tunggal dalam menyokong pembangunan ekonomi mereka selain mendukung matlamat amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Program Tanggungjawab Sosial Korporat ini merupakan salah satu inisiatif AKRM untuk memperkasa ekonomi Wanita dalam mempertingkatkan kemahiran dan pengurusan perniagaan bagi membolehkan penjanaan pendapatan mampan.’
Tambah beliau lagi, ‘Bazar Usahawan ini menawarkan ruang niaga percuma selama tiga (3) hari kepada usahawan Ibu Tunggal. Diharapkan agar inisiatif ini bakal menjadi platform untuk mereka memperkenalkan produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diusahakan oleh mereka kepada pengunjung selain membantu memperluaskan pengalaman dan memperkembangkan lagi perniagaan.’
Pelbagai aktiviti menarik diadakan, antaranya seperti perkongsian ilmu oleh pakar pakar dalam bidang perancangan kewangan, pemerkasaan golongan Wanita dan penjagaan kesihatan. Selain itu, sempena sambutan Hari Malaysia, pertandingan mewarna turut dianjurkan bagi menggalak semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak.