Ramai Rakyat Malaysia Habiskan Sebahagian Besar Pendapatan Bulanan Untuk Makan Di Luar – Rafizi
Tabiat suka makan di luar menyebabkan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat Malaysia dihabiskan bagi memenuhi keinginan tersebut.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kesan daripada amalan tidak sihat itu juga menyebabkan mereka mengalami penyusutan pendapatan.
Perkara ini turut menyebabkan mereka menjadi lebih sensitif terhadap inflasi yang mendadak pada harga makanan yang dimasak, walaupun ketika inflasi utama telah menurun.
“Satu-satunya (perkara perbelanjaan isi rumah) yang paling anjal dan sukar untuk diturunkan sebenarnya adalah makanan yang dimasak dan dibawa pulang.
“Itulah sebabnya kita mempunyai dikotomi apabila ia berkaitan dengan inflasi, ia kelihatan sihat. Ia kira-kira 2 peratus, 2.5 peratus.
“Tetapi secara amnya, orang ramai merasakan ini tidak betul kerana mereka merasakan mereka tidak cukup (wang) pada akhir bulan,” jelasnya dalam laporan Malaysiakini.
Kebanyakan rakyat Malaysia membelanjakan sebahagian besar pendapatan bulanan untuk makan di luar
Ahli Parlimen Pandan tersebut berkata, secara purata isi rumah tempatan akan membelanjakan kira-kira satu pertiga daripada pendapatan untuk makanan yang dimasak atau dibawa pulang.
Manakala, lebih separuh daripada makanan yang dipesan menerusi aplikasi penghantaran berharga RM30 atau kurang bagi setiap pesanan.
Rafizi menjelaskan, jika dibandingkan ekonomi-ekonomi lain di Asia, perbelanjaan makanan untuk kegunaan di rumah, termasuk barangan runcit di Malaysia secara amnya juga lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa rakyat tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya dalam hal terbabit.
Jelas Rafizi, tabiat tersebut didakwa berpunca daripada dasar kerajaan lampau, termasuklah struktur gaji dan ekonomi Malaysia.
“Di negara lain, makan di luar dilihat sebagai perkara riadah. Kita membelanjakan lebih banyak wang untuk membeli bahan mentah, memasak, dan memakannya, sekali-sekala, kita akan keluar (untuk makan),” ujarnya.
Tambahnya, dasar pengangkutan awam yang lemah juga menjadikan kebanyakan isi rumah terpaksa untuk membungkus makanan di kedai.
“Ia juga mengenai masa yang diluangkan oleh orang ramai untuk pergi dan balik dari tempat kerja, dan berapa banyak masa yang ada apabila mereka pulang dari kerja untuk menyediakan makanan.
“Jadi ini semua perkara yang saya fikir adalah akibat yang tidak diingini daripada banyak dasar masa lalu,” katanya.
BACA: Bukan Saja-saja Letak, Rupanya Ini Maksud Sebenar Huruf M&M Pada Coklat Terkenal
Sumber: Sinar Harian