Tiga Jam Terperangkap Dalam Lubang Saluran, Si Bulus Berjaya Diselamatkan Bomba
Sebut sahaja kucing, ramai yang mengetahui ragamnya yang tidak pernah “duduk diam”. Ada sahaja aksi yang membuatkan kita tertawa bahkan tidak senang duduk.
Apatah lagi, si bulus ini gemar bermain di kawasan saluran dan tempat yang sempit. Bukan apa, sebagai seorang pemilik haiwan itu, tentunya kita mahu ia sentiasa berada dalam keadaan selamat sama seperti anak sendiri.
Semalam tular seekor kucing berwarna putih terperangkap dalam sebuah lubang saluran air di sebuah rumah.
Dalam beberapa rakaman yang di muat naik oleh Zulkarnain Zakaria di Facebook memaparkan kelibat haiwan berkenaan.
Hanya muka haiwan yang dinamakan ‘Putih’ itu sahaja kelihatan di sebalik lubang saluran itu.
Menurut Zulkarnain, si bulus itu telah terperangkap dalam lubang berkenaan hampir tiga jam dan sebelum diselamatkan oleh anggota bomba.

“Misi menyelamatkan Putih. Dah dekat tiga jam tersepit, Sekarang pasukan bomba Cheras sedang berusaha keluarkan,” katanya semalam.
Menerusi klip tersebut, Putih seperti meminta tolong apabila kedengaran suaranya yang lemah sambil tangan dan mukanya terpampang keluar dari lubang.
BACA JUGA: Oyen Tunjuk Siapa ‘Taiko’ Taman, Kejar Anjing Sampai Bertempiaran Lari
Turut kelihatan seekor kucing lain (oyen) yang berada di sekitar melihat keadaan Putih yang tidak berdaya itu.
Sementara itu, misi menyelamat dilakukan oleh beberapa anggota bomba dengan memecahkan lantai simen menggunakan alatan khas.
Operasi menyelamat dilakukan dengan cermat dan teliti bagi memastikan si bulus tidak mengalami kecederaan. Hasil bantuan pasukan daripada Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Cheras, haiwan itu berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat.
Sehubungan itu, Zulkarnain mengucapkan terima kasih atas bantuan anggota bomba berkenaan.
“Terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat Cheras yang membantu menyelamatkan Putih,” jelasnya lagi.

https://www.facebook.com/zulkarnain.zakaria.547/posts/pfbid0F6meMmagSVxndN4kvRMCfAvaioynNpTLUFkRX38sD7TzhRzXueYNBvS5ncMTKgrGl
Dalam pada itu, video berkenaan mendapat pelbagai reaksi oleh warganet susulan kejadian tular itu. Rata-rata mereka mendoakan keselamatan kucing itu agar berada dalam keadaan selamat.
Sumber: Facebook Zulkarnain Zakaria