WWE Dilapor Tawar Ronaldo Peluang ‘Bergusti’, Satu Gelanggang Dengan John Cena
World Wrestling Entertainment (WWE) dilapor merancang untuk membawa Cristiano Ronaldo sebagai penampilan utama dalam acara Crown Jewel yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Menurut laporan AS, syarikat berkenaan mahu Ronaldo tampil sebagai supertar guest dalam perlawanan gusti tersebut. Ia dijadualkan akan diadakan pada 4 November nanti.
Sebelum ini, Arab Saudi sudah pun menjadi tuan rumah untuk empat edisi Crown Jewel serta beberapa acara gusti lain sejak 2018. Mei lepas, Jeddah menjadi venue acara gusti Night of Champions.
Menurut Talksport pula, sekiranya Ronaldo bersetuju dengan tawaran untuk tampil di gelanggang bersama John Cena, beliau akan dibayar dengan bayaran yang sangat mewah.
WWE rancang bawa Ronaldo bergusti bersama-sama John Cena
Ronaldo ketika ini beraksi bersama Al-Nassr dalam Liga Pro Arab Saudi. Beliau menandatangani kontrak selama dua tahun setengah selepas meninggalkan Manchester United tahun lepas.
Beliau dilapor menerima bayaran lumayan sebanyak USD 215 juta semusim bersama kelab tersebut.
Jika semua berjalan lancar dan rumors ini menjadi kenyataan, Ronaldo bakal mengikuti jejak langkah beberapa atlet ternama, termasuk pemain bola sepak yang pernah tampil bersama WWE.
BACA: Aksi Semakin Menarik, WWE & UFC Umum Sah Bergabung Bawah Satu Bumbung
Pada 2015, Wayne Rooney pernah membuat cameo dalam WWE Raw. Pemain bola sepak lain yang pernah menyahut peluang serupa adalah Grant Holt, Adebayo Akinfenwa dan Tim Wiese.
Terdahulu, WWE dan sukan seni bela diri Ultimate Fighting Championship (UFC) mengumumkan penggabungan di bawah satu bumbung.
Pengumuman itu dibuat menerusi syarikat pemilikan dua rancangan tersebut, TKO Group Holdings.
Jelas TKO, langkah tersebut bagi mengukuhkan lagi tapak kedua-dua rancangan itu yang mempunyai lebih daripada 1 bilion peminat di seluruh dunia.
Menjangkau penonton di 180 negara, rancangan itu turut membawa lebih daripada 350 siaran langsung setiap tahun.
Dalam pada itu, bekas CEO WWE, Vince McMahon dilantik menjadi Pengerusi Eksekutif TKO Group Holding. Beliau memiliki 16.4 peratus saham dan mempunyai 16.4 peratus kuasa mengundi dalam entiti baharu itu.
Difahamkan, saham TKO sudah didagangkan di Bursa Saham New York dengan menggunakan simbol “TKO”.
Ketua Pegawai Eksekutif Endeavour Ariel Emanuel yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TKO, berkata gabungan UFC dan WWE adalah permulaan baharu dalam bidang sukan dan hiburan global.
Cristiano Ronaldo’s bringing WWE to Saudi Arabia 🤕 pic.twitter.com/LCfH1ttxEG
— GOAL (@goal) April 19, 2023