Siakap Keli
aduan qazaf jawi
Gambar: Fb JAWI

Terima Aduan Berkaitan Isu Qazaf, JAWI Akan Jalankan Siasatan 

Terima Aduan Berkaitan Isu Qazaf, JAWI Akan Jalankan Siasatan 

KUALA LUMPUR — Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil maklum tentang aduan yang dikemukakan oleh beberapa pihak berhubung isu kesalahan jenayah Qazaf.

Pengarahnya, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail berkata siasatan terhadap aduan tersebut akan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI di bawah Peruntukan Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dengan mendapatkan keterangan daripada pihak yang dikenal pasti.

“Sehubungan itu, JAWI ingin mengingatkan semua pihak agar menjauhkan diri dari terjebak melakukan sebarang kesalahan jenayah Syariah yang boleh menimbulkan kemudaratan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar juga berkata Bahagian Penguatkuasaan JAWI telah menerima empat laporan berhubung isu itu, lapor Astro Awani.

“Apabila ada laporan dikemukakan, siasatan akan dijalankan sama ada laporan dibuat kepada polis atau penguatkuasa JAWI.

“Semasa siasatan dijalankan, pihak-pihak berkaitan iaitu saksi akan dipanggil oleh pihak penguatkuasa agama dan di situ laporan (keterangan) akan disediakan.

“(Kenyataan dibuat dalam sidang Parlimen). Siasatan kena jalan bila ada aduan. Persoalan sama ada untuk diteruskan pendakwaan sebab kenyataan dibuat di Parlimen, itu persoalan lain dan itu akan diputuskan oleh pendakwaan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu hadir di Majlis Bersama Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) hari ini.

BACA JUGA: Kuliah Ustaz Azhar Idrus Di Bandar Tun Razak Ditangguh, JAWI Perjelas Sebabnya

Untuk makluman, Qazaf bermaksud membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Merujuk kepada portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/427) menyebut bahawa haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengan tuduhan melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya.

“Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal tersebut adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan merupakan antara perkara haram yang paling keji.

“Manakala dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, Syarak menganggap perbuatan qazaf termasuk antara dosa-dosa besar,” kata portal itu.

Sumber: Twitter JAWI, Astro Awani

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.