Peserta AGT Indonesia, Putri Ariani Dapat Tempat Ke-4, Juri Bagi “Standing Ovation” & Pujian
Penyanyi asal Indonesia Putri Ariani mendapat ‘standing ovation‘ dan pujian walaupun tewas pada peringkat akhir America’s Got Talent (AGT) musim ke-18.
Gadis berusia 17 tahun itu akur dengan kedudukan keempat dalam pertandingan yang berprestij tersebut. Namun persembahannya masih dapat memukau juri dan penonton.
Malah, beliau turut mendapat mendapat ‘standing ovation’ daripada keempat-empat juri.
Lebih mengejutkan, salah seorang juri AGT yang digeruni peserta-peserta, Simon Cowell tidak berhenti-henti memuji bakat luar biasanya.
“Tidak ada yang mampu menafikan bahawa awak adalah peserta luar biasa, dan juga manusia luar biasa.
“Tapi pada akhirnya, ini adalah pertandingan,” kata Cowell.
Selain Cowell, persembahannya turut dikagumi tiga lagi juri iaitu Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel.
Putri Ariani telah membawa lagu Elton John yang berjudul Don’t Let the Sun Go Down on Me di Pasadena Civic Auditorium, California, Amerika Syarikat.
BACA: Simulasi Superkomputer Ramal Bila Waktu Manusia Akan Pupus Dari Muka Bumi
Untuk makluman, pertandingan itu dijuarai penjaga haiwan, Adrian Stoica bersama anjing kesayangannya, Hurricane.
Gandingan duo itu telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai US$1 juta (RM4.71 juta). Selain itu, Stoica dan Hurricane berpeluang membuat persembahan pada AGT Presents Superstars Live di Luxor Hotel and Casino di Las Vegas, Amerika Syarikat
Difahamkan, gandingan Stoica dan Hurricane telah mempamerkan persembahan akrobatik antara manusia dan haiwan.
Sementara itu, tempat kedua diraih Anna Deguzman; Murmuration (ketiga) dan Ramadhani Brothers (kelima).
AGT adalah sebuah program realiti yang mencungkil bakat unik dan luar biasa dimiliki oleh para peserta. Selain America Got Talent, pertandingan ini juga memiliki beberapa versi mengikut benua dan rantau seperti Asia Got Talent, Arab Got Talent, China Got Talent dan sebagainya.
Terdahulu, Putri Ariani pernah menggegarkan dunia dengan bakat nyanyiannya yang luar biasa ketika pusingan pertama.
Gadis cacat penglihatan berbakat besar itu telah menerima ‘Golden Buzzer’ selepas mempersembahkan nyanyian yang cukup menyentuh perasaan.
BACA: Nyanyian Runtun Hati Ramai, Putri Ariani Raih “Golden Buzzer” Di AGT
Sumber: Astro Awani