Lelaki Maut Dipercayai Jatuh Dari Tingkat 13 Hotel, Tersangkut Tingkat Enam
Dalam satu kejadian di Ipoh hari ini, seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat 13 bangunan di sebuah hotel, lapor Sinar Harian.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 9.29 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 40 tahun terbabit ditemukan tersangkut di tingkat 6 bangunan di lokasi kejadian.
“Operasi menurunkan mangsa telah dilakukan dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” jelasnya dalam satu kenyataan ringkas.
Walau bagaimanapun, setakat ini, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
Jatuh Dari Tingkat 29
Terdahulu, kes serupa pernah berlaku melibatkan seorang lelaki yang ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 29 sebuah bangunan di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Julai lalu.
Mangsa yang ditemui dalam keadaan mengerikan disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menerusi kenyataan media.
Kata Mohamad Fakhrudin, pada pukul 3.05 petang, pihaknya menerima satu maklumat daripada orang awam berhubung kejadian.
Menerusi maklumat itu memaklum seorang seorang lelaki telah terjatuh daripada sebuah bangunan di Bandar Utama.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis daripada Balai Polis Damansara telah pergi ke tempat kejadian. Pihak polis mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dibahagian tepi blok bangunan.
“Mangsa ditemui dalam keadaan kepala terputus daripada badannya,” katanya dalam kenyataan tersebut ketika itu.
BACA JUGA: Pelajar Perempuan Maut Terjatuh Dari Tingkat Dua Bangunan Sekolah
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang warga asing yang berumur lingkungan 43 tahun.
Mangsa juga bekerja sebagai tukang cuci di bangunan berkenaan.
“Hasil semakan CCTV mendapati mangsa telah kelihatan berada di kawasan tepi bahagian balkoni bangunan pada kira-kira jam 2.46 petang.
“Selepas itu tiada lagi pergerakan dilihat di kawasan tersebut yang dipercayai mangsa telah terjun daripada balkoni bangunan tersebut,” tambah kenyataan itu lagi.
Mayat kemudiannya telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Sinar Harian