Senat, Dewan Negara US Lulus RUU, Diberi Masa 45 Hari Elak Kerajaan Ditutup
DEWAN Negara Amerika Syarikat (US) meluluskan rang undang-undang (RUU) belanjawan malam tadi bagi mengelakkan berlakunya penutupan kerajaan (government shutdown) yang bakal mencetuskan kesan buruk dalam ekonomi negara itu.
Menurut laporan CNBC, jika RUU tersebut ditandatangani Presiden US Joe Biden, ia membenarkan kerajaan untuk terus mentadbir dalam tempoh 45 hari lagi sekaligus memberi lebih banyak masa untuk menyelesaikan masalah kewangan negara.
Difahamkan RUU itu diluluskan pada tiga jam terakhir sebelum tepat 12 tengah malam tadi dan diserahkan kepada Biden, sebelum langkah penutupan kerajaan berkuat kuasa bermula 1 Oktober hari ini.
Lapor CNBC lagi, RUU jangka pendek setebal 71 muka surat yang dirangka oleh Speaker Dewan Rakyat, Kevin McCarthy, R-Calif itu memperuntukkan dana bantuan bencana, namun tidak melibatkan bantuan kewangan baharu untuk perang Ukraine-Rusia.
‘Berita baik untuk rakyat US’ – Biden
Sebelum itu, laporan CNBC terdahulu melaporkan Biden mengumumkan satu ‘berita baik’ buat seluruh rakyat US.
Biden difahamkan menunjukkan gambar ‘Dewan Republikan yang ekstrem’ sambil memuji RUU tersebut.
“Ini adalah berita baik untuk rakyat US. Tapi saya tegaskan, kita tidak sepatutnya berada dalam kedudukan ini sejak awal lagi.
“Hanya beberapa bulan lalu, Speaker McCarthy dan saya mencapai persetujuan belanjawan untuk mengelakkan krisis ini.
“Selama berminggu-minggu, Dewan Republikan yang melampau cuba meninggalkan perjanjian itu dengan menuntut pemotongan drastik yang akan memusnahkan berjuta-juta rakyat US.
“Mereka gagal,” katanya dalam satu kenyataan selepas RUU itu diluluskan Dewan Negara.
Untuk rekod, sejak perang Ukraine-Rusia tercetus pada Februari 2022 lalu, US telah membelanjakan lebih RM202 bilion sebagai dana keselamatan untuk Kyiv.
Terdahulu, kerajaan US dilapor berada dalam ‘ambang bahaya’ apabila langkah penutupan bakal dikuat kuasa ekoran krisis kewangan gara-gara belanjawan yang dibentangkan tidak dipersetujui pihak Republikan.
Kongres dikatakan berdepan tarikh akhir untuk meluluskan belanjawan baharu itu sebelum beribu-ribu pekerja kerajaan diberi cuti tanpa gaji.
Perjanjian itu dikatakan gagal diluluskan selepas seramai 232 ahli Dewan Rakyat menentang langkah itu.
Sumber: CNBC