Hantaran Tular Berkaitan Bantuan Asas Rahmah RM1,000 Adalah Palsu – MOF
PUTRAJAYA — Kementerian Kewangan Malaysia (Mof) dalam dua kenyataan hari ini menafikan mengenai perkongsian tular Bantuan Asas Rahmah RM1,000 dan Bantuan RM100 yang didakwa disalurkan menerusi MyKad.
Berikutan itu, MoF memohon orang ramai untuk berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan info-info yang disebarkan di platform media sosial.
“Ini adalah palsu. Kementerian Kewangan menegaskan bahawa maklumat mengenai Bantuan Asas Rahmah RM1,000 melalui MyKad adalah palsu,” maklum kementerian itu.
Tambahan, MoF turut memuat naik hantaran berhubung penafian Bantuan RM100 menerusi MyKad.
Sehubungan itu, pihaknya memaklumkan sebarang maklumat berhubung Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh merujuk kepada siaran media di pautan https://www.mof.gov.my/…/penerima-sumbangan-tunai…
BACA JUGA: Lelaki Warga Emas Ditemukan Maut Dalam Keadaan Dijerut
“Manakala soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh diperoleh di Portal Rasmi STR, manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui di sini.
“Layari portal dan ikuti saluran media sosial rasmi Kementerian Kewangan untuk maklumat terkini dah sahih.
“Tidak pasti, jangan kongsi,” maklum kementerian itu.
STR Tambahan Bernilai RM600 Adalah Palsu
Pada Jun lalu, MoF dalam satu kenyataan menafikan maklumat berhubung Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tambahan sebanyak RM600.
Mof berkata demikian dalam ciapan yang dimuat naik di akaun rasmi di Twitter.
Tambah kementerian itu, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan berita tersebut.
Difahamkan maklumat berhubung tambahan STR itu ‘muncul’ menerusi saluran Telegram.
“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa maklumat mengenai tambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM600 adalah palsu.
“Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan berita sebegini di Telegram. Tidak pasti, jangan kongsi,” maklum MoF
STR Fasa 3
Sebelum ini, penyerahan STR Fasa 3 telah disalurkan pada 26 Jun yang lepas iaitu tiga hari sebelum Sambutan Hari Raya Aidiladha.