“Tak Dengar Pula Ura-Ura,” Samsuri Nafi Dakwaan Tun M Jadi Calon PAS Di Kemaman
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan khabar angin yang menyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kemaman nanti.
Beliau berkata setakat ini PAS masih belum membuat sebarang perbincangan berhubung pencalonan bagi PRK tersebut.
“Saya tak dengar pula ura-ura tentang hal tersebut dan saya baca pun dalam media sahaja selain tiada perbincangan ke arah itu. Kami sebenarnya belum sit down (duduk) bersama dengan pimpinan tertinggi berbincang tentang persiapan hadapi pilihan raya terutama penentuan calon.
“Tak pasti (tarikh mesyuarat), setakat ini belum ada panggilan untuk mesyuarat lagi. Saya jangka kebanyakan negeri (pemimpin) pun banyak urusan masing-masing.
“Saya di Terengganu juga banyak urusan perlu diselesaikan. Dijangka minggu hadapan (mesyuarat) kemungkinan diadakan di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, pada Rabu.
Menteri Besar Terengganu itu juga mengatakan beliau tidak menolak kemungkinan calon yang sedia ada akan dikekalkan di kerusi Parlimen berkenaan kerana perkara tersebut boleh berlaku.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan sesiapa sahaja boleh dicalonkan pada PRK tersebut selagi penamaan calon belum berlaku susulan ia terbuka kepada pihak yang berkelayakan.
BACA: MB Terengganu Lawat Mangsa Banjir Di Kemaman
“Berhubung soal meletakkan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), setakat ini tiada cadangan sedemikian.
“Itu kerusi tradisi PAS, ia kerusi ‘incumbent’ dari PAS,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan PAS berkemungkinan meletakkan Dr Mahathir sebagai calonnya pada PRK Kemaman.
Dalam laporan tersebut, ia menyatakan rundingan berkaitan pencalonan telah dimulakan menurut sumber rapat Dr Mahathir.
Sebelum ini, mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis berkata pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Sumber: Sinar Harian