Siakap Keli

Mechamato Kini No.1 Dalam Top 10 Tv Shows Netflix, Peminat Anime Di Jepun Pun ‘Approve’

Bila kita sebut tentang animasi, apa yang terlintas di fikiran kita, sudah tentu deretan anime dari Jepun, kan?

Yelah, sejak kecil lagi, pelbagai anime dari negara Matahari Terbit ini ditayangkan di kaca televisyen. Mobile Suit Gundam, Naruto, Dragon Ball, One Piece, Kekkaishi, Inuiyasha, Shaman King dan banyak lagi.

Setiap hari, ada sahaja saluran tv yang menyediakan slot khas untuk tayangan anime. Jadi, memang tidak dapat dinafikan anime adalah sebahagian daripada memori zaman kanak-kanak kita.

Tetapi hari ini, apa kurangnya animasi negara kita kan? Mampu bersaing hingga ke luar negara dan ada peminat yang sangat ramai.

Kalau kami sebut nama animasi ini yang sangat terkenal, rasanya semua rakyat Malaysia dah kenal dah. Animasi tersebut tak lain tak bukan adalah Mechamato keluaran Monsta.

Mechamato Top 10 Tv Shows di Netflix

Hebatnya Mechamato, baru tiga hari ditayangkan, sekarang berada kedudukan Nombor 1 dalam carta Top 10 Tv Shows di Malaysia dalam Netflix.

Yang buat ramai rasa kagum, siri Musim Kedua itu baru sahaja memasuki Netflix pada 1 Oktober lepas, namun popularitinya berjaya mengalahkan One Piece dan Young Sheldon.

Siapa yang layan One Piece tahu la, betapa popularnya anime ini di seantero dunia. Young Sheldon tu pula, sudah tentu ada peminat tersendiri daripada pengikut tegar siri The Big Bang Theory kan.

Jadi, bila berjaya masuk carta Top 10 Tv Shows Netflix ni, memang membuktikan yang Mechamato ini ‘barang’ baik la.

Selain di Netflix, siri animasi kebanggaan Malaysia ini juga pernah ditayangkan di Cartoon Network Jepun, HBO Go, Amazon Prime, Hulu, FOD dan banyak lagi.

Giliran anak-anak orang Jepun pula layan animasi Malaysia

Namun siapa sangka, hari ini giliran studio animasi kita pula yang mengeksport animasi keluaran tempatan ke Jepun, negara dimana anime lahir.

Ya, Mechamato kini juga menjadi pilihan ibu bapa di Jepun untuk dipertontonkan kepada anak masing-masing.

Jadi, bila mereka dapat tahu yang Mechamato akan ditayangkan di stesen TV Jepun menerusi Tokyo MX bermula 6 Oktober ini, memang tidak dapat disembunyikan lagi keterujaan masing-masing.

Anak-anak suka tengok, tak sabar tunggu tayang di tv

Kami bukan cakap sembarangan tau, sebab memang banyak hantaran-hantaran ibu bapa di sana berkenaan Mechamato yang menjadi viral di platform X.

Rata-rata ibu bapa di Jepun menganggap kualiti dan jalan cerita yang hendak disampaikan oleh Mechamato sangat berkualiti, mungkin setanding dengan anime keluaran tempatan.

Dah lama tunggu, animasi yang bertenaga tetapi ada sisi lembut dan kuasa positif

Malah, mereka juga gembira sebab Mechamato banyak menerapkan nilai-nilai positif dan tiada unsur-unsur ‘tidak sihat’ yang tidak sesuai untuk ditayangkan kepada anak-anak.

Anak lagi minat tengok Mechamato

Begitu juga dengan perkongsian seorang ayah ini yang memberitahu anaknya yang berusia 4 tahun lebih memilih Mechamato berbanding anime tempatan.

Katanya, dia selalu mendengar ramai yang berkata hanya Jepun yang mampu menghasilkan anime berkualiti tinggi. Namun hakikatnya, hari ini banyak negara luar yang mampu menghasilkan animasi yang jauh lebih berkualiti, seperti Mechamato.

Selain itu ada juga ibu bapa di Jepun yang merasakan Mechamato sebenarnya sesuai ditonton bukan sahaja oleh kanak-kanak, tetapi juga oleh ibu bapa juga.

Kata pengguna X ini, Mechamato sarat dengan latar belakang Malaysia dan juga muzik yang boleh dinikmati semua.

Fuhhhh, ini memang dah level lain dah la kan? 10 20 tahun lepas, anak-anak Malaysia menonton anime dari Jepun, hari ini anak-anak orang Jepun pula layan animasi kita. Luar biasa, Mechamato.

Animasi luar Jepun pertama menang Anime Fan Award

Bercakap tentang Jepun ni kan, kalau korang nak tahu, Mechamato berjaya menjadi animasi luar Jepun pertama yang berjaya memenangi TAAF2023 Anime Fan Award di Jepun tau.

Lagi gempak, bos-bos besar MONSTA turun sendiri ke Jepun terima anugerah tu. Siap segak berbaju tradisional Melayu lagi.

Kemenangan itu bukan mudah, kerana semuanya berasaskan undian dan perlu bersaing dengan anime-anime terkemuka yang lain.

Antaranya adalah TIGER & BUNNY 2 Part 1 dan Dragon Ball Super: Super Hero.

Jadi korang dah tahu kenapa Mechamato menjadi animasi pilihan ibu bapa di Jepun dan Top 10 Tv Shows di Netflix.

Jangan ketinggalan tau, Mechamato Musim Kedua kini sudah disiarkan di Netflix. Selamat menonton bersama anak-anak ya.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.