Siakap Keli
serangan hamas israel
Kredit: AFP

Serangan Hamas: Lebih 200 Warga Israel Terkorban

Kementerian Luar Israel mengesahkan angka korban terus meningkat di mana lebih 200 warganya terbunuh dalam serangan mengejut Hamas ke atas Israel setakat pukul 10 malam waktu tempatan, lapor NBC News.

Difahamkan, sekurang-sekurangnya 900 lagi cedera dalam serangan tersebut selepas beribu-ribu roket telah diterbangkan ke arah Israel.

Manakala, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan kira-kira 232 orang di Gaza terbunuh dan 1,697 lagi cedera semasa tindakan balas Israel selepas serangan oleh Hamas ke Israel.

Menurut Angkatan Pertahanan Israel (IDF), dua bangunan di Gaza telah ditumbangkan oleh jet pejuang mereka.

IDF berkata bangunan itu digunakan oleh pegawai kanan Hamas, di mana ia juga menempatkan pejabat Hamas, termasuk ibu pejabat perisikan dan ruang pengeluaran senjata.

Susulan serangan tersebut, Israel membuat keputusan untuk menghentikan bekalan elektrik, bahan api dan barangan ke Gaza, menurut satu kenyataan dari pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Netanyahu berkata bahawa peringkat pertama serangan balas Israel terhadap Hamas telah berakhir, dengan mendakwa pasukan tentera Israel telah memerangi majoriti besar militan Hamas.

Beliau juga berikrar untuk meneruskan serangan balas tanpa had atau tangguh.

“Kami memulakan perang yang panjang dan sukar yang dipaksa ke atas kami dengan menyerang balas serangan Hamas,” katanya.

BACA JUGA: Serangan Roket Besar-Besaran Dilancarkan Dari Gaza Ke Israel, Sekurang-Kurangnya 22 Maut

Umum mengetahui, Hamas tidak pernah melakukan serangan terhadap Israel namun pada kali ini ia dilancarkan atas beberapa sebab yang terjadi kepada Palestin.

Antara sebab yang mempengaruhi Hamas untuk melakukan serangan ke atas Israel ialah negara tersebut menghadapi perpecahan politik domestik yang bersejarah, peningkatan serangan oleh Israel ke atas Palestin dan rundingan kepentingan tinggi antara Israel, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Selepas anggotanya membunuh 200 warga Israel dan menculik berpuluh-puluh orang lagi, Hamas berkata ia membalas dendam atas beberapa siri tindakan Israel baru-baru ini di Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis dan di Tebing Barat.

Bekas pegawai perisikan dan tentera Amerika Syarikat (US) berkata serangan Hamas bertujuan untuk mengganggu rundingan antara Israel dan Arab Saudi ketika Riyadh mahu menormalkan hubungan dengan Israel.

Sumber: NBC News, Aljazeera

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana