Anak Suka Mandi Kolam Tapi Bahaya Kalau Ibu Bapa Tak Peka Dengan Ancaman Ini
Apabila tiba cuti persekolahan, ibu bapa akan mengambil peluang membawa anak-anak ke tempat awam seperti taman tema air, pusat membeli-belah atau taman tasik berdekatan dengan rumah untuk meluangkan masa bersama.
Pun begitu, ibu bapa perlu mengawasi tindak tanduk anak mereka sekiranya pergi ke tempat sedemikian kerana ada bahaya menanti jika tidak peka dengan keadaan sekeliling. Bukan sahaja di luar, malah bencana boleh juga berlaku di rumah ketika anak-anak menggunakan kolam renang mudah alih kanak-kanak di halaman rumah.
Walaupun kolam untuk anak-anak cetek, namun ibu bapa perlu menumpukan perhatian penuh kepada si kecil kerana mereka berisiko lemas meskipun di dalam air sedalam 2cm. Selain itu, pendedahan kepada klorin juga boleh meningkatkan risiko jangkitan pernafasan.
Risiko seterusnya adalah apabila kolam renang mudah alih kanak-kanak itu terbalik sekaligus memerangkap anak-anak sehingga mereka menjadi panik. Kemudian, bukan itu sahaja ibu bapa juga perlu peka dengan kehadiran haiwan berbisa dan risiko penyakit bawaan kuman berbahaya.
Bagaimanapun risiko sebegini boleh dicegah sekiranya ibu bapa mengambil langkah awal antaranya dengan menghantar anak-anak ke kelas renang. Malah, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga telah memperkenalkan kelas renang percuma bagi anak-anak dari keluarga B40.
KLAS Renang percuma khas B40 bermula September
Program Kemahiran Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang) percuma ini khusus bagi kanak-kanak daripada keluarga B40.

Mulai September hingga Disember ini, fasa kedua akan dibuka dengan sasaran seramai 5,760 kanak-kanak berumur enam tahun hingga 12 tahun.
Disebabkan fasa pertama yang dilancarkan pada Mei lalu mendapat sambutan menggalakkan, program yang dikelolakan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bakal ke 36 buah lokasi lagi di seluruh negara.
Menurut data sedia ada, kira-kira 500 kes lemas melibatkan kanak-kanak dilaporkan pada setiap tahun dan dengan program ini ia turut membantu mengelakkan serta mengurangkan kematian dalam golongan tersebut.
Ibu bapa tidak perlu risau kerana program tersebut lengkap dengan pembelajaran dan latihan penguasaan kemahiran asas berenang, terutama pembinaan keyakinan di dalam air (water confidence) selain pelbagai teknik kemahiran renang.
Program tersebut dilaksanakan dalam usaha memastikan kemahiran renang dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak dan juga akan memberi faedah kepada kanak-kanak yang berumur seawal tiga tahun hingga 12 tahun.
Sementara itu, KBS juga sedang melaksanakan projek rintis melibatkan 20 orang kanak-kanak di bawah umur enam tahun, 40 orang warga emas dan 20 orang kurang upaya di bawah program yang sama.
Objektif utama inisiatif program adalah untuk mengurangkan kadar kematian dengan memberi tunjuk ajar berhubung teknik asas berenang khas kepada kanak-kanak.
22 pembaharuan pacu sukan, belia
Kesungguhan dan komitmen KBS dalam memacu pembangunan arena sukan dan belia dapat dilihat dengan 22 pembaharuan yang telah dilakukan dalam tempoh 9 bulan bermula Disember 2022 sehingga kini.
Terdapat empat elemen utama yang dititikberatkan iaitu memperkasakan belia, merakyatkan fasiliti KBS, memperkukuhkan ekosistem sukan dan merakyatkan sukan.
Bagi memperkasakan belia, KBS menumpukan kepada dua usaha dengan melancarkan Sekolah Rukun Negara dan juga memberi nafas baharu Rakan Muda.
Kemudian, aspek merakyatkan fasiliti KBS dibuat dengan tujuan ia boleh dinikmati oleh segenap masyarakat dengan menawarkan perkhemahan keluarga dan menyediakan penginapan ‘youth capsule’.
Manakala, terdapat 12 usaha yang terlibat bagi memperkukuhkan ekosistem sukan, di mana meningkatkan dari 51 kepada 103 jenis sukan supaya dapat memanfaatkan kemahiran sukan atlet negara.
Sementara itu, elemen keempat merakyatkan sukan yang membantu memberi kepuasan kepada orang ramai seperti menjalankan kemahiran KLAS renang.
Tidak hanya itu, pembaharuan yang lain juga telah dilakukan oleh KBS mengikut senarai di bawah ini.

Dengan 22 pembaharuan yang dilaksanakan KBS ini, ia mampu memberi nafas baharu kepada rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi golongan muda berjiwa sukan yang bakal merealisasikan Visi Sukan Negara 2023, iaitu menjadikan Malaysia Negara Bersukan pada tahun 2030.
Untuk pertanyaan lanjut mengenai KLAS Renang Fasa 2 dan inisiatif KBS yang lain layari www.kbs.gov.my dan ikuti semua platform media sosial KBSMalaysia.