Isu Beras: Mana-Mana Pihak Sebar Tuduhan Palsu Terhadap Kerajaan Negeri Kedah Akan Didakwa – Sanusi
ALOR SETAR — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bakal mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang memburukkan Kerajaan Negeri Kedah susulan isu kekurangan beras tempatan dalam pasaran.
Memetik Sinar Harian, beliau berkata pihak yang terlibat perlu menarik balik kenyataan yang menggambarkan negeri itu terlibat dalam skandal beras tempatan dalam tempoh 24 jam.
Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.
“Kita akan arahkan pasukan peguam buru semua pemilik akaun terlibat untuk tindakan mahkamah kerana membuat laporan tergantung menyebabkan ia beri gambaran salah terhadap Kedah agar jadi pengajaran kepada semua.
“Kalau nak sebarkan maklumat mestilah lengkap serta berdasarkan prinsip keadilan kepada pihak terlibat.
“Individu yang menyerbu kilang beras pada Selasa didapati tidak memakai topi keselamatan ketika serbuan dan mereka juga akan diburu untuk diambil tindakan,” ujar Sanusi.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa pendedahan yang mengaitkan sebuah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dengan skandal berkenaan stok beras itu adalah tidak benar.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu kenyataan tersebut adalah tidak berasas mengaitkan kes yang berlaku pada 2016 seperti didedahkan baru-baru ini dengan isu ketiadaan beras yang berlaku pada masa sekarang.
BACA JUGA: Kilang Beras Disyaki Sorok 180 Tan Metrik Beras Tempatan Disita
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.
Sumber: Sinar Harian