Buat julung-julung kalinya, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Pertandingan Pantun Lakon 2023. Pertandingan ini menggabungkan elemen melafazkan pantun dan persembahan lakonan. Peringkat saringan pertandingan ini telah berlangsung pada 1-31 Ogos 2023 secara dalam talian melalui medium media sosial Facebook, Instagram dan TikTok.
Sebanyak 48 penyertaan telah diterima dan enam orang peserta terbaik telah terpilih untuk ke peringkat akhir. Pertandingan Akhir Pantun Lakon 2023 telah berlangsung secara bersemuka di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada 10 Oktober 2023 (Selasa), pukul 9.00 malam. Peserta akan bertanding secara berpasukan dan akan melalui 3 pusingan pertandingan yang diberikan latar tempat yang berbeza, iaitu Wisma DBP, Wisma BSN dan Dataran Merdeka. Juara untuk edisi Pertandingan Pantun Lakon 2023 ini akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,500.00 manakala naib juara akan menerima RM2,500.00 dan tempat ketiga akan menerima RM1,500.00.
Hadiah untuk tiga tempat sagu hati pula berjumlah RM500.00 setiap seorang. Selain itu, pemantun terbaik juga akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 dan persembahan lakon terbaik akan menerima wang tunai sebanyak RM500.00.