SARA Diperluas, 700,000 Penerima Terima RM100 Sebulan Untuk 12 Bulan
Kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2024 setelah mendapat reaksi positif daripada penerima.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat sebentar tadi.
SARA yang diperkenalkan tahun ini melibatkan 200,000 penerima STR yang menerima sebanyak RM 100 sebulan selama enam bulan yang dikreditkan ke dalam MyKAD.
SARA diperluas, 700,000 penerima terima RM100 sebulan
”Mengambil kira maklum balas yang amat baik, Kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA kepada 700 ribu penerima STR yang akan menerima RM 100 sebulan untuk tempoh 12 bulan,” katanya.
Melalui SARA, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit terpilih di seluruh negara untuk membeli keperluan asas hanya dengan menggunakan MyKAD.
Menurut portam MyKasih.com, SARA akan diberikan kepada penerima-penerima STR yang berstatus miskin tegar berdasarkan data Miskin Tegar eKasih.
Kerajaan terus komited untuk meneruskan perlaksaan Payung Rahmah
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan turut menyediakan RM200 juta bagi meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah.
Hal ini termasuk pelaksanaan Jualan Rahmah dan Pasar Rahmah yang telah menawarkan insentif kepada 1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam serta pasar tani.
“RM225 juta ringgit pula disediakan untuk membiayai kos pengedaran barangan keperluan asas seperti petrol, LPG, tepung, beras dan minyak masak ke kawasan pedalaman di bawah program Community Drumming.
“Program ini akan diperluas ke kawasan baharu antaranya di zon Abai, Sandakan, Sabah dan Engkerebai, Mukah di Sarawak,” katanya.
Perdana Menteri berkata sedemikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) di Dewan Rakyat pada hari ini.
Belanjawan 2024 merupakan Belanjawan MADANI Kedua yang juga kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI yang melibatkan tiga tumpuan utama.
Antaranya, Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan; Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.
BACA: Nak Elak Isu Remeh, Apa Kena Buat Kalau Pasangan Seorang Gamer? Sokong Atau Halang?
Sumber: Siaran Langsung Astro Awani