Israel ‘Gugur’ 6000 Bom Ke Atas Gaza Dalam Masa Enam Hari
Tentera Udara Israel dilapor telah ‘menggugurkan’ 6,000 bom ke atas sasaran di Gaza dalam tempoh enam hari, lapor The Washington Post.
Menurut akhbar itu lagi, jumlah berkenaan hampir menyamai jumlah bom yang digugurkan oleh Amerika Syarikat sepanjang operasi di Afghanistan pada 2019.
Untuk tempoh setahun pada tahun tersebut, Amerika Syarikat dilapor menggugurkan sekitar 7,423 butir bom.
Jumlah berkenaan dianggap luar biasa untuk tempoh yang singkat dengan mengambil kira saiz Gaza yang lebih kecil dan lebih padat.
6000 bom digugurkan Israel ke atas Gaza dalam tempoh enam hari
Menurut penasihat pertahanan kepada sebuah badan pemikir di Belanda, Marc Garlasco, sebarang kesilapan yang berlaku dalam operasi itu boleh memberi impak yang sangat besar.
Sementara itu, TRT World melaporkan Tentera Udara Israel berkata, operasi terbaru dilancarkan pasukan itu mengenai lebih 3,600 sasaran Hamas di Gaza.
Antaran sasaran tersebut adalah pusat arahan dan kawalan, infrastruktur ketenteraan yang strategik, tapak penghasilan senjata, aset-aset perisikan dan tapak pelancaran roket.
BACA: Israel Arahkan 1.1 Juta Penduduk Di Utara Gaza Berpindah Ke Selatan Dalam Tempoh 24 Jam
Terdahulu pada lewat malam Khamis, Israel dilapor memberi masa 24 jam kepada lebih 1.1 juta penduduk di utara Gaza untuk berpindah.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, arahan berkenaan dimaklumkan oleh pegawai perhubungan Israel Defense Forces (IDF), lapor CBS News.
PBB berkata bahawa arahan itu adalah mustahil untuk dilakukan tanpa ada kesan kepada kemanusiaan.
“Kami merayu agar sebarang perintah sedemikian dibatalkan bagi mengelakkan huru-hara yang lebih besar daripada apa yang sudah berlaku sekarang.”
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, keseluruhan sekurang-kurangnya 2,215 orang terkorban di Gaza, termasuk 724 orang kanak-kanak setakat ini, lapor AFP.
Agensi kesihatan itu juga berkata, jumlah keseluruhan itu termasuk sekurang-kurangnya 324 orang terkorban dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Manakala, kira-kira 8,714 orang lagi mengalami kecederaan sejak konflik Gaza-Israel itu meletus kira-kira seminggu yang lalu.
BACA: Nak Elak Isu Remeh, Apa Kena Buat Kalau Pasangan Seorang Gamer? Sokong Atau Halang?
Sumber: Washington Post, WION News, TRT World