Siakap Keli
konvensyen geneva

Kenali Konvensyen Geneva, Undang-undang Setiap Pihak Berperang Kena Patuh

Kenali Konvensyen Geneva, Undang-undang Setiap Pihak Berperang Kena Patuh

Tahukah anda, bahawa dalam peperangan, sebenarnya ada undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pihak-pihak yang sedang berperang?

Dengan kata lain, setiap tentera yang bertempur di lapangan sebenarnya terikat dengan satu set undang-undang yang sudah pun ditetapkan.

Ringkasnya, askar-askar ini tidak boleh ‘main’ tembak sesuka hati, atau berdepan dengan tindakan mahkamah sebaik sahaja tamat perang.

Undang-undang yang dimaksudkan itu adalah set peraturan yang ditetapkan dalam Konvensyen Geneva yang ditandatangani pada 1949.

Ia sangat penting kepada dunia hingga Pertubuhan Palang Merah Dunia (ICRC) menganggap Konvensyen Geneva sebagai pencapaian terhebat manusia dalam abad lalu.

 

Tujuan utama undang-undang ini adalah untuk melindungi orang awam, petugas kesihatan, ahli perubatan profesional dan anggota tentera yang tidak lagi boleh bertempur misalnya akibat kecederaan atau ditangkap dan dijadikan tahanan perang.

Apa yang kami nak kongsikan kali ini adalah mengenai isi kandungan Konvensyen Geneva itu sendiri. Ayuh kita teliti satu persatu.

 

Ringkasnya ada 4 perkara dasar Konvensyen Geneva

Konvensyen Geneva ini secara ringkasnya membincangkan tentang 4 perkara. Pertama, melindungi askar yang cedera atau sakit di medan perang (daratan).

Kedua, melindungi kumpulan yang sama ketika perang (lautan). Ketiga, melibatkan tahanan perang dan keempat pula memberi perlindungan kepada orang awam, termasuk penduduk dalam wilayah lawan yang berjaya ditawan.

Selain itu, terdapat 3 protokol tambahan untuk melengkapkan 4 perkara diatas. Protokol-protokol tersebut ditambah di tahun-tahun kemudian selepas konvensyen ini ditandatangani.

 

Dua protokol pertama bertujuan untuk memperkuatkan lagi perlindungan untuk orang awam yang menjadi mangsa perang antara negara dan juga bukan antara dua negara seperti perang saudara.

Manakala protokol yang ketiga adalah penubuhan jata Red Crystal, seperti Red Cross (Palang Merah) dan Red Crescent (Bulan Sabit Merah).

Jata ini akan diguna pakai bagi memudahkan pengecaman dan melindungi petugas kesihatan, ahli perubatan profesional, fasiliti perubatan milik tentera atau awam serta hospital bergerak seperti kapal yang beroperasi atau berada di kawasan konflik.

Siapa yang menandatangani konvensyen ini?

Umumnya, semua negara yang menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah meratifikasikan konvensyen ini.

PBB berkata, banyak perkara yang terkandung dalam Konvensyen Geneva merupakan undang-undang biasa sekaligus setiap negara sebenarnya terikat dengan konvensyen ini, tidak kira sama ada sesebuah negara itu sudah atau belum meratifikasikan Konvensyen Geneva.

 

Jadi, kalau langgar macam mana?

Konvensyen Geneva secara jelas menyebut jika pihak-pihak yang berperang melanggar undang-undang ini, jadi pihak yang terlibat perlu bertanggungjawab untuk membaiki dan membayar ganti rugi di atas kesemua kehilangan nyawa atau kecederaan yang berpunca daripada pelanggaran itu.

Malah, individu-individu yang terlibat akan disiasat dan dibicarakan di mahkamah, sekiranya bersalah, akan dikenakan hukuman yang setimpal. Undang-undang sebuah negara, saluran diplomatik dan juga mekanisme penyelesaian pertindihan antarabangsa semua boleh dikuatkuasakan.

 

Mana-mana negara boleh menyiasat dan mendakwa pihak-pihak yang melakukan jenayah perang dan mahkamah antarabangsa boleh terlibat dalam perbicaraan tersebut.

Majlis Keselamatan PBB boleh mengarahkan sesebuah negara untuk memenuhi kewajiban mereka (menyiasat sesuatu jenayah perang). Sekiranya perintah tersebut dilanggar, maka PBB berhak menubuhkan sebuah tribunal bagi menjalankan siasatan.

 

 

 

 

BACA: Lelaki Didakwa Peguam ‘Palsu’ Ditahan, Sempat Urus 26 Kes & Menang Semua Sebelum Kantoi

Sumber: Independent

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma