Ada Beza Rupanya, Ini Jenis-Jenis Pucuk Ubi Yang Perlu Anda Tahu
Bila sebut ulam-ulaman ini, ia cukup terkenal dengan ‘set pelengkap’ makanan tradisional orang Melayu suatu ketika dahulu. Bahkan sehingga kini, ia masih menjadi kegemaran orang ramai tidak kira di kampung mahupun di bandar.
Sekiranya anda singgah di mana-mana kedai makanan aneka pilihan, tentunya ulam-ulaman hijau ini sentiasa dihidangkan di setiap dulang.
Antara ulaman ini termasuklah ulam raja, pucuk pegaga, petai, jering, kacang botor, daun kaduk, cekur, daun kunyit dan pucuk ubi.
Bercerita mengenai pucuk ubi, sayur hijau ini merupakan salah satu ulam paling popular dalam masyarakat. Hal ini kerana ia boleh dimasak dalam pelbagai hidangan kampung.
Jadi, tidak hairan mengapa tumbuhan hijau ini digemari ramai. Tetapi, tahukah anda sebenarnya pucuk ubi ini mempunyai pelbagai jenis.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian Nahari Mastono Arukin menerusi Facebook Kumpulan Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri di bawah. Semoga bermanfaat.
BACA JUGA: Nak Turun Bukit Ada Caranya, Buat Ni Untuk Elak “Brake Disc” Kereta Berasap
Jenis-Jenis Pucuk Ubi
Pelbagai jenis pucuk ubi. Jom kenali pelbagai spesies pucuk ubi.
1. Pucuk Ubi Ajinamoto
Bentuk daunnya bersegi persis daun betik. Boleh dikatakan sebagai spesies terbaharu ubi kayu yang diviralkan. Daun dan batangnya berwarna hijau tua. Pokok ini agak bergetah bila dipetik.
Lebih sesuai dicelur dan dibuat ulam kerana rasanya sedikit lemak-lemak manis. Tekstur daunnya sederhana lembut.

2. Pucuk Ubi Pulut (Batang Putih)
Bentuk daunnya lebar. Tekstur daunnya juga lembut apabila dimasak. Warna daun dan batangnya kehijauan.

3. Pucuk Ubi Kerinting
Bentuk daunnya kerinting. Tekstur paling lembut apabila dimasak berbanding jenis yang lain. Tidak perlu dicelur lama kerana mudah lembut.

4. Pucuk Ubi Batang Merah
Bentuk daunnya lebar menyamai Pucuk Ubi Pulut. Tekstur daunnya sederhana lembut. Daunnya berwarna hijau dan batangnya berwarna merah.
Spesies ini lebih kerap ditanam untuk isi ubi kerana isi ubinya yang lebih sedap, empuk dan lembut.

5. Pucuk Ubi Ekor Kucing
Bentuk daunnya runcing dan panjang persis ekor kucing. Tekstur daunnya agak kasar dan sedikit keras apabila dimasak. Ia mengambil masa agak lama jika ingin lembutkan pucuk ubi jenis ini.
Daunnya berwarna hijau dan batangnya berwarna merah. Ada jenis daun berwarna hijau dan batangnya juga hijau. Jenis yang ini lebih lembut daunnya.

Menu berasaskan pucuk ubi:
1. Masak lemak putih atau kuning
2. Celur cicah sambal
3. Tumis pedas
4. Masak bening
5. Kerabu atau urap
6. Goreng berlada
7. Rendang
8. Dan lain-lain
Cara Tanam:
Semua spesies pucuk ubi ditanam secara keratan batang
Penjagaan:
1. Mudah
2. Murah
3. Paling best, tak manja
BACA JUGA: Tak Sempat “Grad”, Dua Pelajar Siswazah USIM Antara Korban Serangan Israel
Nota Tambahan: Khasiat atau Kegunaan Pucuk Ubi
1. Sumber kalsium kalori 56 kcal/100g
2. Rendah lemak
3. Vitamin A dan C
(Sumber: Fb KKM dipetik dari Suara Sarawak 23.08.23)
Boleh tanam di tanah atau dalam pasu
Sumber: Nahara Mastono Arukin via Facebook Kumpulan Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri