Siakap Keli
Gambar via Anadolu Ajansi

Gempa Bumi Ketiga Landa Afghanistan, Seorang Maut & 100 Cedera

Gempa Bumi Ketiga Landa Afghanistan, Seorang Maut & 100 Cedera

Beberapa hari selepas dua gegaran besar yang telah membunuh lebih 1,000 orang, kini berlaku satu lagi kejadian gempa bumi yang melanda barat Afghanistan.

Menurut US Geological Survey (USGS), gempa berkekuatan 6.3 magnitud melanda berdekatan dengan bandar Herat. Kedalamannya adalah 6.3km, bersamaan dengan empat batu.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan memberitahu bahawa terdapat satu kematian, manakala 100 orang yang lain sedang dirawat atas kecederaan yang dialami di hospital serantau, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lebih 90 peratus daripada kematian dalam kejadian gempa sebelum ini merupakan wanita dan kanak-kanak, kata agensi kanak-kanak PBB Unicef.

Dalam laporan mereka, USGS berkata pusat gempa yang terkini adalah 30km barat laut Herat, yang merupakan bandar ketiga terbesar di Afghanistan yang berhampiran dengan sempadan Iran.

Getaran itu mengakibatkan rumah-rumah yang tidak dapat menahan gempa, runtuh. Penduduk kampung menggunakan penyodok dan tangan mereka untuk mencari orang yang hilang.

Selepas kejadian gempa itu, ramai penduduk yang tidur di luar. Pihak Taliban yang telah memerintah Afghanistan sejak 2021, berkata bahawa ramai yang kini duduk di dalam khemah dan apabila cuaca bertukar sejuk, mereka berkemungkinan untuk tidak dapat mengatasinya lebih dari sebulan.

Afghanistan telah mengalami masalah ekonomi sejak pihak Taliban berkuasa, apabila bantuan yang diberi terus kepada kerajaan dihentikan.

Negara itu sering dilanda gempa bumi, terutama sekali di banjaran gunung Hindu Kush, yang terletak berhampiran dengan  persimpangan plat tektonik Erusia dan India.

Pada Jun tahun lalu, wilayah Paktika dilanda gempa bumi berukuran 5.9 magnitud yang mengorbankan lebih 1,000 orang dan menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Sumber: BBC News

BACA JUGA: 120 Maut, 1,000 Cedera Akibat Gempa Bumi Di Afghanistan

 

Nurul Alya