Lelaki Didakwa Peguam ‘Palsu’ Ditahan, Sempat Urus 26 Kes & Menang Semua Sebelum Kantoi
Seorang lelaki yang didakwa merupakan peguam palsu ditahan di Kenya baru-baru ini, lapor portal Pulse.
Menariknya, sebelum ditahan, lelaki berkenaan sempat menguruskan 26 kes di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Rayuan.
Dia dilaporkan menang dalam semua kes yang diwakilinya.
Menurut portal berita itu lagi, lelaki berkenaan mengamalkan profesyen berkenaan bertahun lamanya hinggakan para hakim ketika perbicaraan tidak mengesyaki apa-apa.
Kelayakkan lelaki tersebut sebagai peguam hanya mula menjadi perbincangan selepas identitinya terbongkar dan ditahan pihak berkuasa.
Lelaki itu ditahan oleh Pasukan Tindakan Pantas Majlis Peguam Cawangan Nairobi (RAT), lapor portal The Star Kenya.
Menurut portal itu lagi, lelaki berkenaan ditahan selepas RAT menerima aduan daripada orang awam.
“Suspek telah terlibat dalam 26 kes perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Majistret dan Hakim Mahkamah Rayuan.
“Dia telah memenangi kesemua 26 kes sebelum ditahan pihak berkuasa,” kata Facts East Africa seperti dilaporkan Pulse.
Gambar suspek yang menyarungkan jubah peguam berwarna hitam serta mengenakan rambut palsu yang biasa dipakai sewaktu perbicaraan turut tular di media sosial.
Warga maya kagum dengan kemahiran lelaki tuntuk memenangi kesemua kes di mahkamah
BACA: 5 Kesilapan Ramai Buat Bila Shopping Kat Mydin Yang Boleh Sebabkan Korang ‘Rugi’
Kisah lelaki yang luar biasa itu telah menjadi buah mulut dalam kalangan warga maya, khususnya di laman X.
Kebanyakan pengguna meminta lelaki tersebut agar diberikan lesen untuk mengamalkan undang-undang. Hal ini kerana, walaupun tanpa lesen yang sah, lelaki tersebut masih dapat mengatasi peguam terlatih di mahkamah.
Dalam pada itu, Majlis Peguam Kenya (LSK) Cawangan Nairobi mengesahkan lelaki berkenaan bukan peguam yang berdaftar dengan persatuan mereka.
”Kami ingin memaklumkan kepada semua ahli persatuan ini dan orang awam bahawa suspek, berdasarkan rekod persatuan, bukan peguam yang berkhidmat dengan Mahkamah Tinggi. Dia juga bukan ahli persatuan ini di mana-mana cawangan,” kata LSK.
Kenyataan itu dimuat naik melalui akaun media sosial di platform X.
BACA: Nak Elak Isu Remeh, Apa Kena Buat Kalau Pasangan Seorang Gamer? Sokong Atau Halang?
Sumber: Pulse