Dakwa Ada Pendamping, Bomoh Durjana Rogol Pelajar Empat Kali Ketika Merawat Ditahan Polis
Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan telah dicabul dan dirogol sebanyak empat kali oleh seorang bomoh ketika melakukan rawatan, lapor Sinar Harian.
Ketika rawatan, bomoh itu mendakwa bahawa pelajar perempuan itu memiliki pendamping dalam badannya.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek yang berusia 50 tahun itu adalah merupakan jurulatih Muay Thai dan datang ke rumah mangsa pada awalnya untuk merawat ibu saudara mangsa yang dipercayai mengalami gangguan sihir.
Namun begitu, setelah melihat mangsa, suspek kemudian memberitahu ibu mangsa yang berusia 48 tahun bahawa mangsa memiliki pendamping dalam badannya.
Tambah Zainol, suspek telah bertindak membawa mangsa bersama ibu dan bapa saudara mangsa ke sebuah kawasan semak berhampiran sebuah pasar raya di Cheng.
“Pada pertemuan itu suspek menyuruh ibu dan bapa saudara mangsa pergi membeli makanan dan meninggalkan mangsa bersama suspek berdua di kawasan semak.
“Ketika itu suspek didakwa merogol mangsa dan turut memberi amaran kepada mangsa agar tidak memberitahu kepada orang lain. Ia telah menyebabkan mangsa takut menceritakan hal itu kepada sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Menurut Zainol, sejak pertemuan itu, suspek sering datang ke rumah mangsa untuk tujuan mengubati mangsa.
Dalam tempoh rawatan itulah mangsa mendakwa dia telah dirogol sebanyak empat kali oleh suspek di tempat yang berlainan.
Mangsa mendakwa bahawa telah dirogol oleh suspek sejak bulan Ogos lalu hingga Oktober sebelum memberanikan diri untuk membuat laporan polis.
“Suspek ditahan polis jam 4.30 pagi pada Selasa di tempat latihan Muay Thai di kawasan Batu Berendam dan mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya lagi.
BACA: “Tak Tahu Boleh Dapat RM500” Lelaki Bongkar ‘Rahsia’ Bayaran Kat Cashier Mydin
Dalam pada itu, Majistret Mahkamah Melaka, Khairunnisak Hasni telah mengeluarkan perintah reman kepada suspek yang berasal dari Tumpat, Kelantan.
Suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.
Sumber: Sinar Harian