Sebut pasal kerja, setiap insan perlu berusaha untuk menempatkan diri mereka dalam bidang pekerjaan yang lebih baik. Bermula dari situ, ia dapat membantu menampung keperluan dan kehendak hidup masing-masing
Walau bagaimanapun, sesetengah pekerja yang telah berjaya memasuki atau mendapat pekerjaan hanya melakukan dengan sambil lewa. Sedangkan gaji yang dibayar tidak seimbang dengan usaha. Dalam masa yang sama, ada lagi insan yang lebih memerlukan dan layak mengisi tempat tersebut.
Sehubungan itu, timbul persoalaan berhubung ‘kerja tapi macam tidak kerja’ dari pandangan Islam.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bawah ini.
Kerja Tapi Tak Kerja?

Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mutakhir ini, ramai yang susah untuk mendapatkan pekerjaan tetapi tidak kurang juga majikan yang susah untuk mendapatkan pekerja kerana kebanyakannya seperti tidak bekerja. Apakah maksud tidak bekerja ini dan bagaimanakah untuk mengatasinya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
BACA JUGA: UAI Perjelas Hukum Bungkus Lauk Kenduri
Kebanyakan orang menganggap bahawa mereka pergi kerja dan berada di tempat kerja sudah memadai tanpa melakukan sebarang kerja yang diamanahkan. Amat malang sekali. Apa yang dilakukan lebih banyak ‘menyibuk’ semata-mata. Orang seperti ini biasanya suka pergi ke sana-sini, menyampuk, melepak dan berbual kosong dengan kawan-kawan. Perbualan mereka biasanya hanya terbatas kepada isu peribadi, keluarga, hobi, kereta, rumah dan lain-lain.
Justeru, jadilah mereka walaupun pergi ke tempat kerja, tetapi tidak ada kerja sekalipun ada kerjanya. Dalam erti kata yang lain, tahap kerjanya amat sedikit dan malangnya tiada penghasilan yang baik. Inilah pekerja yang sebenarnya pergi kerja tetapi tidak bekerja. Orang seperti ini biasanya amat berminat untuk punch card sahaja pergi dan pulang dari kerja. Itulah yang dipeliharanya.
Adapun pengisian dalaman adalah kosong dan tiada apa-apa. Justeru, mereka hendaklah membuat satu perubahan dalam jiwa dan sikap serta memahami tanggungjawab yang sebenar yang mesti digalas dengan sebaik mungkin. Sepatutnya bersyukurlah kerana betapa ramai orang berusaha merebut peluang pekerjaan, tetapi tidak dapat disebabkan oleh pengambilan yang terhad dan penjimatan sesebuah syarikat dalam pengambilan pekerja sedangkan kita sudah stabil bekerja mengabaikan peluang yang kita dapat. Alangkah ruginya kita mensia-siakan peluang ini.
BACA JUGA: Hukum Sertai Maraton Dianjur Syarikat Riba, Ini Kata Dr Zulkifli
Justeru kita wajib mengambil peluang yang ada dengan menonjolkan cara kerja yang kita dengan berbekalkan ilmu, semangat yang kental, dan matlamat yang jelas untuk kita capai. Dengan cara ini, kita akan dapat menatijahkan hasil yang lumayan dan luar biasa dalam membangun majikan, syarikat dan negara kita. (Lihat Masa Peliharalah, hlm. 120-121)
Ingatlah, kita sebagai pemegang amanah Allah SWT yang mesti menunaikannya dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”
Surah al-Mukminun (8)
Justeru, marilah kita menunaikan tugas dengan sebaik mungkin, penuh dengan inovasi cekap dan profesional. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)
Sumber: Maktabah al-Bakri