Padah Curi Motosikal Sebelum Majlis Kahwin, Pemuda Terpaksa Nikah Di Balai Polis
Seorang pemuda dari Indonesia terpaksa mengahwini kekasihnya di balai polis selepas dia dicekup ketika mencuri sebuah motosikal, lapor Bongkah.
Pemuda berusia 25 tahun dari Ambengan Batu, Surabaya terpaksa melangsungkan perkahwinannya sebagai banduan di balai Polis Sukolilo.
Pemuda itu ditahan polis selepas mencuri sebuah motosikal Honda Scoopy milik mangsa di Jalan Medokan Semampir AWS 2 No 1, Sukolilo Surabaya pada Rabu lalu.
Ekoran penahanannya itu, pemuda tersebut terpaksa melafazkan ikatan perkahwinan bersama pasangannya di Balai Polis Besar Sukolilo, Sabtu bersamaan 21 Oktober lalu.
Ketua Polis Sukolilo, Pesuruhjaya Polis I, Made Parera Negara menjelaskan bahawa suspek berjaya ditahan ketika sedang cuba melarikan sebuah motosikal.
“Penghuni rumah bangun dan berasa curiga. Segera keluar rumah dan menyergah suspek yang belum sempat membawa lari motor tersebut,” jelasnya ketika di Ibu Pejabat Polis Sektor, Jumaat lalu.
Suspek juga dikatakan telah dibelasah oleh penduduk sehingga mengakibatkan mukanya lebam.
Sementara itu, rakan subahat suspek dalam kes itu bagaimanapun berjaya melarikan diri.
Dalam keadaan dipenuhi lebam-lebam, suspek segera dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sukolilo.
Keluarga suspek datang merayu agar membenarkannya untuk bernikah di balai polis
“Ketika kami tangkap, keluarganya datang merayu kepada saya selaku ketua polis untuk membenarkan dia bernikah di Ibu Pejabat Polis Sukolilo. Ini kerana rancangan perkahwinan itu telah dirancang sebulan yang lalu,” jelas Made lagi.
Ketika pernikahan itu berlangsung, kedua-dua pasangan pengantin hadir dengan lengkap berpakaian nikah berwarna kelabu.
BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’
Usai perkahwinan itu, suspek mengakui perbuatannya yang memalukan isteri dan keluarga besarnya.
Penyesalan itu keluar sendiri daripada mulut suspek yang kecewa dengan nasib yang menimpa dirinya.
“Baik tuan. Maaf pak saya malu,” kata suspek sambil menundukkan kepalanya.
Akibat daripada tindakannya itu, suspek akan didakwa mengikut Perkara 363 Kanun Jenayah Indonesia.
Susulan kejadian itu, suspek terpaksa menangguh rancangan berbulan madunya bersama isteri yang baru dinikahinya.
Sumber: Bongkah