Padah Nak “Selfie” Dengan Ular Sawa, Lelaki Rebah Leher Kena Belit
Seorang lelaki yang sedang mabuk dilaporkan nyaris maut dibelit selepas dia cuba mengambil swafoto dengan seekor ular sawa besar, lapor Daily Star.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah stesen minyak di Valapattanam, India pada 20 Oktober lalu.
Sewaktu kejadian, lelaki yang di bawah pengaruh alkohol itu dengan sengaja membiarkan ular tersebut melilit badannya untuk tujuan bergambar.
Bagaimanapun, keadaan mula bertukar panik selepas reptilia itu mula melingkar di lehernya.
Lelaki itu kemudiannya dilihat rebah dan seorang pekerja stesen minyak berhampiran dengan pantas datang menyelamatkan lelaki itu.

Selepas berjaya meleraikan lilitan haiwan itu, ular tersebut kemudiannya merayap dan hilang di bawah lori berhampiran lokasi kejadian.
“Saya tidak pernah terserempak dengan ular tetapi bila ternampak dia bergelut. Saya cepat-cepat mendapatkan guni dan berlari ke arahnya.
“Dia bergelut dan berada dalam keadaan yang teruk, saya berjaya menarik ekor ular itu dan tidak lama kemudian ia melonggarkan belitannya dan berlalu pergi,” kata saksi yang membantu lelaki malang itu.

Menurut saksi itu lagi, lelaki yang sedang di bawah pengaruh alkohol tersebut berkeras untuk mengambil gambar dengan haiwan berbahaya itu.
Akhirnya ular itu telah melilit lalu menjerut lehernya dengan sangat kuat.
Namun begitu, tiada laporan mengenai kecederaan yang dialami mangsa ekoran kejadian itu.
Dalam kejadian berasingan, sebuah rakaman tular menunjukkan beberapa orang memegang ular sawa sepanjang enam kaki yang dilindungi ketika berpesta.
Kejadian dilaporkan berlaku di dalam sebuah belukar yang terletak di Afrika Selatan.
Sekumpulan lelaki itu dilihat membuka mulut ular tersebut sebelum menuang sebotol penuh arak Kanada di dalam mulut haiwan itu.
BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’
Perbuatan itu kemudian disorak oleh beberapa orang tetamu yang lain dan salah seorang lelaki lagi bersedia untuk menuangkan botol kedua dalam mulut ular itu.
Susulan kejadian penyeksaan itu, penguatkuasa undang-undang kini sedang mengesan kumpulan itu kerana disyaki melakukan kekejaman terhadap haiwan.
Sumber: Daily Star