Siakap Keli
Gambar via Maktabah Al-Bakri

Cara Membuang Bahan Bacaan Yang Mengandungi Ayat Al-Quran

Cara Membuang Bahan Bacaan Yang Mengandungi Ayat Al-Quran

Kadang-kadang, bila kita beli sebuah majalah, mungkin terdapat beberapa petikan Al-Quran. Boleh jadi juga kalau kita membeli buku ilmiah agama yang akan mempunyai kandungan ayat Al-Quran.

Apakah yang perlu kita lakukan sekiranya majalah atau buku itu sudah lama dan harus dibuang? Kita ragu-ragu kerana terdapat ayat Al-Quran dalamnya.

Justeru mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Mohamad Zulkifli al-Bakri telah berkongsi kepada kita cara melupuskan bahan bacaan yang mempunyai ayat Al-Quran.

Ikutilah jawapan beliau daripada soalan yang ditanya.

#2835: Melupuskan Bahan Bacaan yang Mengandungi Ayat al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah cara terbaik untuk melupuskan bahan bacaan seperti buku-buku agama dan majalah yang mengandungi keratan ayat-ayat al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum menjawab persoalan di atas, suka untuk kami terangkan terlebih dahulu berkenaan cara pelupusan mushaf al-Quran sama ada yang telah lama atau rosak.

Para ulama’ telah berbeza pendapat tentang bagaimana cara melupuskan al-Quran kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Hendaklah Digali Tanah dan Ditanam di Dalamnya.

Inilah pandangan mazhab Hanafi dan Hanbali. Al-Haskafi dari ulama’ mazhab Hanafi menyebut: “Mushaf apabila berada pada keadaan di mana kita tidak mampu membacanya lagi, maka hendaklah ditanam sepertimana keadaan orang Islam yang mati.” (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 1/191).

Kenyataan ini kemudian diberi komentar oleh Sahib al-Hasyiah dengan menyebut: “Diletakkan perca kain yang bersih yang diletakkan di dalamnya (al-Quran yang rosak), kemudian ditanam di tempat yang tidak dihina dan dipijak.”

Al-Buhuti dari kalangan ulama’ mazhab Hanbali menyebut: “Sekiranya mushaf telah basah atau lupus, maka hendaklah ditanam secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa mushaf Abu al-Jauza’ telah basah, lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya.” (Lihat Kassyaf al-Qina’, 1/137).

Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf adalah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh, maka ditanam di tempat yang bersih lagi suci, dan harus juga untuk membakarnya. (Lihat al-Fatawa, 13/84)

Pendapat Kedua: Hendaklah Dibakar.

Ini merupakan pandangan mazhab Maliki dan Syafi’ie. Hujah bagi pendapat kedua ini adalah berdasarkan tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain, yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat.

Peristiwa ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya (no. 4988). Mus’ab bin Sa’d berkata: “Aku mendapati ramai orang yang menyaksikan peristiwa Saidina Uthman yang mengarahkan agar mushaf-mushaf lain dibakar. Perbuatan itu menimbulkan kehairanan bagi mereka, tetapi tidak seorang pun dari kalangan mereka yang mengingkarinya.” Diriwayatkan oleh Abu Bakr bin Abi Dawud dalam bukunya Kitab al-Masahif (hlm. 41).

Ibn Battal berkata: “Perintah Saidina Uthman agar membakar semua mushaf ketika dihimpunkan al-Quran menunjukkan keharusan membakar kitab-kitab yang terdapat padanya Asma’ullah (nama-nama Allah). Yang demikian, sebagai kemuliaan baginya dan pemeliharaan daripada dipijak dengan kaki serta dicampakkan pada mana-mana tempat.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 10/226)

Imam al-Suyuti berkata: “Apabila perlu kepada melupuskan sebahagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak boleh diletakkannya pada mana-mana tempat sekalipun tinggi, kerana boleh jadi akan jatuh dan dipijak. Begitu juga, tidak boleh mengoyaknya kerana memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, jika dibakarnya dengan api, maka tidak mengapa. Ini kerana, perbuatan Saidina Uthman yang membakar semua mushaf dan tiada seorang pun yang mengingkarinya.” (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, 2/1187)

Berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa diharuskan untuk melupuskan al-Quran sama ada dengan menanam atau membakarnya, kerana kedua-duanya bermatlamat untuk memuliakan al-Quran atau mushaf.

Meskipun begitu, kami lebih cenderung kepada hujah mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar.

Perbuatan sahabat seperti Saidina Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu, ia tidak diingkari oleh mana-mana Sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut dan keharusan untuk dibakarkan.

Dan setelah itu, alangkah baiknya, selepas dibakarkan, kemudian ditanam pula debu-debu yang berbaki itu dengan mengambil pandangan dari mazhab Hanafi dan Hanbali.

Alhamdulillah, mutakhir ini, telah wujud alat-alatan moden untuk menghancurkan kertas sehingga menjadi seperti debu atau serpihan halus, dan tidak kekal lagi walaupun kalimah dan huruf secara zahir.

Kemudian, ia dibakar pula dan kemudian ditanam. Maka sudah tentu lebih selamat dalam memuliakan al-Quran daripada dihina dan dipijak.

Hal ini juga terpakai untuk kitab-kitab agama yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah, kitab-kitab hadith dan seumpamanya, di mana hendaklah kita muliakan juga.

Cara pelupusannya juga sebaiknya hendaklah dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti yang telah dijelaskan.

Penutup

Marilah sama-sama kita memuliakan al-Quran dengan selayaknya kerana ia adalah kalamullah yang menjadi petunjuk kepada manusia. Jangan sekali-kali terdetik dalam hati kita untuk menghinanya.

Walaupun al-Quran sudah usang maka hendaklah dimuliakan ketika kita ingin melupuskan sesuai dengan kalam Ilahi. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Sumber: Maktabah Al-Bakri

BACA JUGA: Hukum Lafaz Akad Nikah ‘Aku Terima’ Sahaja, Sah Atau Tidak? Ini Kata Dr. Zulkifli

 

Nurul Alya