Siakap Keli
Hukum Bercakap Solat Jamak
Gambar: AFP

Apa Hukum Bercakap Antara Solat Jamak? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Apa Hukum Bercakap Antara Solat Jamak? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Dalam Islam, seseorang muslim atau muslimah yang merancang perjalanan melebihi dua marhalah boleh melakukan solat jamak dan qasar bagi memudahkan urusan.

Mereka boleh dikategorikan sebagai musafir. Seperti yang diketahui tempoh dibolehkan qasar dan jamak untuk musafir ialah tiga hari tiga malam, tidak termasuk hari datang dan hari pulang.

Walau bagaimanapun, timbul persoalan disebalik tatacara dalam menyempurnakan solat jamak dan qasar iaitu sah atau tidak solat tersebut sekiranya diselangi dengan perbuatan bercakap.

Bagi menjawab keraguan tersebut, ikuti perkongsian oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohd Al-Bakri berkaitan perkara tersebut di bawah ini.

Hukum Bercakap Di Antara Solat Jamak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bercakap antara solat jamak? Saya tertegur anak saudara dan bergurau dan baru teringat solat jamak Isyak belum dibuat.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

BACA JUGA: Hukum Lafaz Akad Nikah ‘Aku Terima’ Sahaja, Sah Atau Tidak? Ini Kata Dr. Zulkifli

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya.

Berkenaan solat jamak ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2392: Kekeliruan Dalam Mempraktikkan Solat Jamak[1]

#2355: Dua Solat Jamak Yang Terpisah Dengan Perbuatan Lain[2]

BACA JUGA: Boleh Ke Makan Balut? Ini Jawapan Dr Zulkifli

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan antara syarat sah jamak solat adalah berturut-turut iaitu dilakukan dua solat secara berturut-turut dan tidak diselangi dengan apa-apa perbuatan. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Baghawi bahawa : al-Muwalah (Berturut-turut) adalah merupakan syarat sah solat jamak. Tidak boleh melakukan solat sunat antara dua solat tersebut dan juga tidak boleh duduk lama antaranya. Sekiranya dia memanjangkan tempoh antara kedua-dua solat jamak tersebut maka terbatallah jamak dan hendaklah dia melakukan solat kedua pada waktunya (Lihat al-Tahzib Fi Fiqh Imam al-Syafi’e, 2/316)

Namun dalam situasi di atas kami katakan sekiranya tempoh terpisah antara dua solat jamak itu hanya sebentar maka ia tidak ada masalah. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Nawawi: Tidak ada masalah sekiranya waktu yang terpisah antara solat jamak itu hanya sekejap. (Lihat Minhaj al-Talibin,hlm.46)

Lajnah Ifta ‘Urduniyyah menyatakan Jarak masa antara dua solat jamak adalah  singkat seperti waktu yang cukup untuk melaksanakan dua rakaat solat yang ringan dengan wuduk, azan, dan iqamah, kita menganggarnya sekitar tujuh minit. Jika jarak melebihi waktu seperti ini, maka itu dianggap jarak yang panjang. Jika seorang yang sedang solat ragu-ragu apakah jarak yang terpisah itu sudah lama atau masih pendek, maka dia tidak boleh menggabungkan kedua solat tersebut.[1]

Justeru kami katakan, tiada masalah untuk bercakap jika tempoh tersebut tidak terlalu lama. Jika sebaliknya, maka ia tidak diperbolehkan kerana ia menyebabkan terbatalnya solat jamak. Begitu juga, ketika itu saudara terlupa dan bukan disengajakan, maka ianya dimaafkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Wallahu a‘lam

Sumber: Maktabah Al-Bakri

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.