Ella Alami Masalah Pendengaran, Kini Guna Hearing Aid
Ratu Rock Malaysia yang terkenal dengan nama panggilannya, Ella, mengakui bahawa dia kini mengalami masalah pendengaran.
Menurutnya, pendengaran di telinga sebelah kirinya berkurang sebanyak 70 peratus dan telinga kanan pula hanya tinggal 80 peratus.
Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Binti Aminuddin yang berumur 57 tahun, berkata bahawa dia tidak mengetahui mengenai masalahnya itu ketika menjalani pemeriksaan telinga di Global Hearing Care Centre Malaysia (GHCC).
Dia juga mengambil keputusan untuk terus menggunakan alat bantuan pendengaran.
“Ingatkan telinga saya okay. Tapi, selepas melakukan pemeriksaan, keputusan mendapati pendengaran telinga kiri berkurang kepada 70 peratus dan sebelah kanan hanya tinggal 80 peratus daripada 200 bacaan 200 peratus,” kata Ella, memetik Gempak.
Katanya lagi, “Selepas itu, saya mendapat bantuan GHCC dan saya menggunakan alat bantuan pendengaran Bernafon Alpha. Syukur, Alhamdulillah, kini masalah saya dapat diselesaikan,”
Ella ditemui di Pavillion Bukit Jalil ketika Program Komuniti Global Hearing Care Centre yang dianjurkan oleh GHCC pada Sabtu lalu.
GHCC bersama Ella dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan sebuah program komuniti yang memfokuskan tentang kesihatan pendengaran serta kelancaran pertuturan di setiap peringkat usia.
Program Ke Arah Pendengaran dan Pertuturan yang Lebih Baik
Program yang dinamakan ‘Ke Arah Pendengaran dan Pertuturan Yang Lebih Baik’ itu juga turut menyaksikan perasmian kolaborasi antara GHCC dan Ella, iaitu edisi ekslusif alat bantu dengar Bernafon Alpha “RockQueen x GHCC”.
Pengarah Pemasaran dan Operasi Global Hearing Care Centre, Lyn Ooi berkata bahawa kehadiran Ella sebagai duta untuk mewakili GHCC amat membantu.
Ini kerana, kehadirannya dapat memberi kesedaran untuk menitikberatkan penjagaan kesihatan pendengaran.
Ia juga dapat memupuk sikap ambil tahu tahap pendengaran mereka dengan lebih awal melalui saringan pendengaran yang dikendalikan oleh GHCC Malaysia.
“Pendedahan kepentingan menjaga pendengaran seeloknya bermula dari usia kanak-kanak lagi dalam kalangan ibu bapa.
“Orang ramai juga diharap agar tidak menganggap masalah pendengaran cuma akan terjadi kerana peningkatan usia,” kata Lyn Ooi.
Ujarnya lagi, “Pihak GHCC amat berbesar hati kerana Ella yang telah didiagnos dengan masalah pendengaran sudi berkerjasama dengan kami.
“Kerjasamanya dalam menyebarkan kesedaran isu ini sekali gus dapat mempromosikan pemakaian alat bantu mendengar edisi terhad Bernafon Alpha “RockQueen x GHCC” yang dipakainya untuk tujuan aktviti harian,” tambahnya.
Dia juga turut menambah bahawa setiap pembelian alat bantu mendengar yang terhad itu, pembeli dapat berpeluang untuk menerima kotak edisi khas RockQueen x GHCC.
Better Hearing Fund
Selain itu, GHCC juga bakal melakukan kolaborasi dengan KPM bahagian pendidikan khas melalui projek ‘Better Hearing Fund’ untuk pelajar-pelajar yang memerlukan alat bantuan pendengaran.
Pemberian alat itu akan memberi impak kepada yang tinggi dalam pembelajaran pelajar pada masa akan datang.
Terdapat juga reruai yang menyediakan khidmat pemeriksaan telinga, fisioterapi, pemeriksaan kesihatan umum, konsultasi kesihatan mental serta pelbagai aktiviti permainan untuk kanak-kanak selain daripada saringan pendengaran yang dilakukan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun 2050 akan terdapat 700 juta individu bersamaan dengan nisbah 1 kepada 10 individu masyarakat akan mempunyai masalah pendengaran dan memerlukan intervensi awal.
Sumber: Gempak
BACA JUGA: Individu Kedua Terima “Transplant” Jantung Babi Dilapor Meninggal Dunia