Tak Tahan Asyik Kena Serang, Wanita Nekad Upah Pembunuh Tembak Mati Anak Sendiri
Seorang wanita di Thailand dilaporkan menyerah diri kepada polis selepas mengaku mengupah seorang lelaki bersenjata untuk membunuh anak lelakinya di sebuah rumah di wilayah Isaan, lapor The Thaiger.
Kematian lelaki berusia 31 tahun itu telah dilaporkan kepada pegawai Balai Polis Chiang Khan pada Khamis, 9 November lalu kira-kira jam 9 pagi.
Mangsa dikatakan telah ditembak mati di rumahnya di daerah Chiang Khan di wilayah Loei.
Wanita yang berusia 57 tahun itu pada awalnya memberitahu polis bahawa dia tidak mengetahui tentang kejadian itu kerana tinggal kira-kira dua kilometer daripada mangsa.
Suspek mendakwa bahawa dia hanya mengetahui tentang berita kematian anaknya itu melalui jirannya.
Wanita itu juga mendedahkan bahawa anaknya itu sering ketagihan methamphetamine dan sering menyerangnya secara fizikal ketika di bawah pengaruh dadah.
Menurut wanita itu, walaupun sudah beberapa kali mendapatkan rawatan, penyalahgunaan bahan tersebut telah menyebabkan kesihatan mental anaknya terjejas.
Oleh disebabkan kekurangan maklumat berkenaan motif pembunuhan tersebut, wanita itu menegaskan bahawa dia tidak mahu meneruskan siasatan terbabit.
Menyesal dan akhirnya serah diri kepada polis
Bagaimanapun, wanita itu kemudiannya dilaporkan menyerah diri dan membuat pengakuan kepada polis pada Sabtu, 11 November lalu kira-kira jam 2 petang.
Wanita itu memberitahu polis bahawa dia telah merancang pembunuhan itu bersama kakaknya yang berusia 65 tahun.
Menurutnya, dia bertindak sedemikian kerana sudah tidak tahan menjadi mangsa serangan fizikal yang dilakukan anaknya itu terhadap dirinya.
Kakak wanita itu kemudiannya telah mengupah seorang lelaki bersenjata berusia 64 tahun dengan bayaran sebanyak 25,000 baht (RM3,300) untuk pembunuhan tersebut.
BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis
Pun begitu, wanita itu dan dua suspek lain akhirnya telah menyesali perbuatan mereka dan memutuskan untuk menyerah diri kepada polis.
Dalam pada itu, bekas isteri mangsa memberitahu pemberita bahawa dia menjadi saksi kepada kejadian serangan fizikal yang dilakukan bekas suaminya kepada ibunya.
Kerana menerima nasib yang sama seperti ibu mertuanya, isteri mangsa telah memutuskan untuk bercerai bersama suaminya itu.
Mangsa dikatakan sering meminta wang daripada ibunya dan menyerangnya apabila tidak mendapatkannya.
Sumber: The Thaiger