Siakap Keli
Mahkamah Persekutuan Putus Abdul Hadi Kekal Ahli Parlimen Marang
Kredit: Bernama

Mahkamah Persekutuan Putus Abdul Hadi Kekal Ahli Parlimen Marang

Mahkamah Persekutuan Putus Abdul Hadi Kekal Ahli Parlimen Marang

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang, lapor Sinar Harian.

Keputusan sebulat suara itu ditetapkan panel tiga hakim yang telah dipengerusikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Panel hakim telah menolak rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman yang bertanding menentang  Presiden Pas itu pada pilihan raya umum lepas.

Jasmira sebelum ini mendakwa Abdul hadi telah membuat sogokan kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Abang Iskandar berkata ketika membaca keputusan penghakimannya, perayu gagal membuktikan kesnya sehingga mencetuskan keraguan.

“Justeru, rayuan ini ditolak tanpa sebarang kos,” kata Abang Iskandar yang turut bersama Hakim, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pemberian bantuan menjelang pilihan raya

Ketika prosiding, peguam Jasmira , Datuk Mohd Hafarizam Harun berhujah bahawa wujud elemen rasuah apabila pihak berkenaan menyampaikan bantuan wang, dua hari sebelum PRU-15.

“Kami tidak menyangkal sumber bantuan berkenaan, namun mempertikaikan julat waktu agihan itu disampaikan kepada hampir 6,286 penerima di kawasan tersebut.

“Meskipun angkanya tidak mencapai nilai majoriti, namun bilangan yang mencecah hampir 7,000 ini masih boleh pengaruhi keputusan pilihan raya,” ujarnya yang turut memohon agar mahkamah menerima rayuan petisyen ini.

Petisyen pilihan raya berkenaan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lepas. Perayu mendakwa Pas menyogok pengundi melalui pengagihan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri.

Perkara berkenaan didakwa berlaku menerusi program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa, pada 15 hingga 17 November 2022.

Terdahulu, Abdul Hadi telah memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira. Turut bertanding adalah calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.

Abdul Hadi memperoleh undi keseluruhan sebanyak 73,115 diikuti, Jasmira (31,386 undi), Azhar (4,140 undi) dan Dr Zarawi (427 undi).

Menurut Sinar harian, keputusan tersebut menunjukkan peningkatan undi majoriti jika dibandingkan dengan 21,954 undi pada PRU14.

BACA: Cameron Highlands Mendunia, Diiktiraf Antara 51 Tempat Tercantik Di Dunia

Sumber: Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.