“Pencerobohan Hospital Gaza Tidak Boleh Diterima”- WHO
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan bahawa pencerobohan di Hospital Al-Shifa, Gaza tidak boleh diterima, lapor Anadolu Agency.
Ketua pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata timbul kebimbangan daripada pihaknya terhadap situasi konflik yang terjadi di pusat kesihatan itu.
“Hospital bukanlah medan peperangan. Kami amat risau tentang keselamatan para pekerja dan pesakit di sana.
“Ia amat penting untuk melindungi mereka,” katanya dalam satu sidang media di Geneva pada Rabu.
Mengulas lanjut, Tedros berkata apabila WHO terputus hubungan dengan petugas kesihatan di sana, ambulans dan pesakit-pesakit haruslah dilindungi bukan sahaja daripada peperangan, tetapi juga misi ketenteraan.
“Walaupun kemudahan kesihatan digunakan untuk tujuan peperangan, prinsip perbezaan, langkah berjaga-jaga haruslah sentiasa diterapkan.
“Keselamatan pesakit-pesakit dan petugas kesihatan, serta sistem kesihatan dalam komuniti yang lebih luas, haruslah menjadi perhatian yang terpenting.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa haruslah dihormati,” tambahnya.
Difahamkan mereka tidak lagi menerima apa-apa maklumat mengenai angka kematian dan kecederaan terkini di Gaza sejak tiga hari lalu, sekali gus menyukarkan mereka memantau situasi kesihatan di sana.
Menyentuh masalah kekurangan bahan api, Tedros berkata sekurang-kurangnya 120,000 liter minyak diperlukan bagi menghidupkan bekalan kuasa elektrik di hospital, ambulans, loji penyahgaraman, rawatan kumbahan dan telekomunikasi.
Bantuan Disekat
Tedros turut menyatakan sebuah lori berisi 23,000 liter bahan api telah memasuki Gaza pada Rabu, namun disekat oleh Israel. Ia hanya boleh digunakan untuk mengangkut bantuan dari Rafah.
“Kami mungkin boleh untuk dapatkan bantuan ke Gaza melalui lintasan Rafah, tetapi tanpa minyak kami tidak dapat membawanya ke tempat yang sepatutnya,” ujarnya lagi.
Imbas kembali, Hospital Al-Shifa yang menempatkan kira-kira 700 pesakit serta ribuan pelarian di dalamnya sekali lagi menjadi sasaran pada Rabu semalam.
Menurut Anadolu Agency, Israel mendakwa Hamas menjadikan hospital berkenaan sebagai kubu mereka.
Namun dakwaan tersebut dinafikan oleh pihak hospital serta Hamas sendiri.
Untuk rekod, konflik Israel-Palestin kini sudah memasuki hari yang ke-40 dan angka kematian warga Palestin yang dicatatkan ialah kira-kira 11,320 orang, termasuk 7,800 wanita dan kanak-kanak, selain lebih 29,200 cedera.
Sumber: Anadolu Ajansi
BACA JUGA: Hospital Al-Shifa Di Gaza Tidak Lagi Berfungsi Sebagai Pusat Perubatan – WHO