Siakap Keli
thailand landbrige selat melaka
Gambar: Facebook

Thailand Tawar Amerika Sertai Projek “Landbrige”, Laluan Perdagangan Alternatif Kepada Selat Melaka

Thailand Tawar Amerika Sertai Projek “Landbrige”, Laluan Perdagangan Alternatif Kepada Selat Melaka

Thailand dilapor masih berusaha menggerakkan projek pembinaan laluan perdagangan alternatif di Asia Tenggara bernilai $28 bilion (RM131.5 bilion).

Menurut laporan Time, pemimpin negara berkenaan membangkitkan cadangan itu dalam sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat.

Dalam sidang kemuncak itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menekankan kepada pelabur-pelabur tuan rumah berhubung projek yang disasarkan siap menjelang 2039.

Katanya, projek itu sangat penting untuk dilaksanakan bagi memastikan aliran barang tidak terjejas dengan tekanan yang semakin memuncak di Selat Melaka, salah satu laluan perdagangan tersibuk di dunia itu.

Ia juga sebagai usaha menarik pelaburan asing sekaligus meningkatkan ekonomi negara berkenaan.

Gambar: Time

“Saya percaya ini bakal memberi peluang yang tidak pernah ada sebelum ini untuk melabur secara komersial dalam projek strategik menghubungkan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi dan menghubungkan orang di Timur dengan Barat,” katanya.

Kata Srettha, Projek Landbridge bakal membuka 280,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand sebanyak 5.5 peratus setahun setelah siap.

Difahamkan, laluan sepanjang 100 kilometer (km) itu dirancang untuk dibina merentasi Kra Isthmus yang menjadi bahagian paling sempit di kawasan semenanjung ini.

BACA JUGA: Nak Beli Kena Pastikan Ada Sticker Biru Ni Dulu, Baru Bil Air Rumah Tak “Melangit”

Projek ini akan menghubungkan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi tanpa memerlukan kapal belayar  melalui Selat Mekala dan Singapura.

Thailand percaya, dengan adanya infrastruktur tersebut dapat mengurangkan tempoh pengangkutan secara purata empat hari. Ia juga akan menurunkan kos penghantaran sebanyak 15 peratus.

Walau bagaimanapun, Srettha bersama badan pentabiran sebelum ini menyatakan kebimbangan tentang impak projek itu terhadap hidupan liar dan komuniti tempatan. Susulan itu, projek ini beberapa kali sudah ditangguhan akibat perkara berkenaan.

Projek Landbridge ini juga berpotensi menjadi isu geopolitik persaingan kuasa antara pelbagai pihak. Bagi mengimbangi tekanan yang dihadapi, Thailand secara terbuka menawarkan kepada semua pihak untuk terlibat dalam projek tersebut.

Antaranya menawarkan penyertaan kepada China sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Projek ini juga ditawarkan kepada pelabur-pelabur dari Arab Saudi.

Dalam pada itu, pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat berkata, rancangan Thailand itu mungkin akan memendekan masa pelayaran, namun akan meningkatkan kos operasi.

“Jumlah masa yang dapat dijimatkan bergantung kepada banyak perkara. Misalnya masa yang diperlukan untuk memunggah barang dari kapal, mengangkut melalui laluan darat dan mengisi semua ke dalam kapal.

“Semua proses ini boleh menyebabkan kos operasi syarikat perkapalan akan meningkat. Jadi, mereka juga perlu mempertimbangkan kos yang perlu ditanggung, bukan semata-mata soal masa yang dapat dijimatkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, Singapura tidak mempunyai kuasa untuk menghalang negara lain membangunkan kemudahan masing-masing.

Sebaliknya, Singapura kini sedang memberi fokus kepada kemudahan pelabuhan sendiri untuk memastikan kekal kompetitif dan relevan.

Sumber: Time, CNA

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.