Siakap Keli
WHO kesunyian
Kredit AFP

Kesunyian Kini Dianggap Sebagai Keutamaan Kesihatan Global Yang Perlukan Perhatian Segera

Kesunyian Kini Dianggap Sebagai Keutamaan Kesihatan Global Yang Perlukan Perhatian Segera

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan meletakkan masalah kesunyian sebagai keutamaan kesihatan global yang memerlukan perhatian segera, lapor CNN.

Pengisytiharan itu dibuat susulan pendedahan oleh pakar bedah Amerika Syarikat, Dr Vivek Murthy sebelum ini, lapor The Guardian.

Katanya, kajian mendapati impak buruk kepada kesihatan hingga menyebabkan kematian disebabkan kesunyian adalah setara dengan merokok 15 batang rokok sehari.

Susulan pendedahan tersebut, WHO kemudiannya telah melancarkan suruhanjaya antarabangsa mengenai masalah itu.

Suruhanjaya itu diketuai oleh Dr Vivek Murthy dan utusan muda Kesatuan Afrika, Chido Mpemba yang terdiri daripada 11 orang jurucakap.

Selain itu, suruhanjaya itu juga melibatkan penyertaan daripada menteri-menteri kerajaan, termasuk Ralpd Regenvanu, Menteri Perubahan Iklim di Vanuatu.

Seorang lagi menteri yang terlibat adalah Ayuko Kato, menteri yang bertanggungjawab bagi mengatasi langkah-langkah masalah kesunyian di Jepun.

Isu tersebut dikatakan mula tercetus selepas terjadinya pandemik Covid-19, di mana ia memberi kesan kepada aktiviti sosial dan ekonomi.

Justeru, penubuhan suruhanjaya mengenai perkara ini akan dilakukan selama tiga tahun bagi memerhatikan langkah dan cara untuk mengatasinya.

“Kesunyian adalah masalah yang merentasi sempadan dan menjadi kebimbangan kesihatan awam global. Masalah ini berisiko menjejaskan setiap aspek kesihatan, kesejahteraan dan pembangunan. Pengasingan sosial juga tidak mengenal usia atau sempadan,” kata Mpemba lagi mengulas berkenaan isu tersebut.

Menurut Dr Murthy pula, risiko masalah kesunyian itu kepada kesihatan adalah bersamaan dengan merokok sebanyak 15 batang rokok sehari.

Ia lebih besar daripada masalah kesihatan yang berkaitan dengan obesiti dan ketidaktifan fizikal.

Walaupun kesunyian sering dilihat sebagai masalah bagi negara-negara maju, namun Murthy menyangkal dakwaan tersebut.

Menurutnya satu daripada empat orang dewasa mengalami pengasingan sosial dan ia adalah sama bagi semua wilayah di dunia.

Bagi orang dewasa yang berumur, kesunyian dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia sebanyak 50% dan risiko penyakit arteri koronari atau strok sebanyak 30%.

Malah, kesunyian juga sebenarnya turut menjejaskan kehidupan mereka yang masih muda. Dapatan data mendapati bahawa antara 5% hingga 15% remaja alami masalah kesunyian.

Di Afrika, 12.7% remaja dilaporkan mengalami kesunyian berbanding 5.3% di Eropah.

Selain itu, golongan remaja yang mengalami kesunyian di sekolah juga berkemungkinan untuk tercicir daripada pendidikan.

Masalah itu boleh membawa dampak yang buruk kepada ekonomi. Golongan ini mungkin merasa terasing dalam pekerjaan dan seterusnya menyebabkan prestasi kerja menurun dan menjadi lebih buruk.

Menurut Mpemba, di Afrika, kebanyakan penduduknya terdiri daripada golongan muda dan berdepan dengan cabaran mencari persekitaran yang selamat.

BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis

Selain itu, krisis iklim serta tahap pengangguran yang tinggi turut menyumbang kepada pengasingan sosial yang tinggi di negara tersebut.

“Kami percaya, ia adalah penting untuk mendefinisikan semula naratif kesunyian terutamanya bagi populasi yang tidak terdedah dengan jurang digital,” katanya lagi.

Murthy menambah bahawa isu ini tidak hanya menjejaskan satu negara, tetapi ia adalah ancaman awal kepada kesihatan global.

Sumber: The Guardian, CNN

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka