Siakap Keli
Gambar via CNN

Kenali Pitu Rooms: Hotel ‘Terkurus’ Di Dunia, Hanya Ada 7 Bilik

Kenali Pitu Rooms: Hotel ‘Terkurus’ Di Dunia, Hanya Ada 7 Bilik

Sebuah hotel di Indonesia mendapat gelaran ‘hotel terkurus di dunia’. Namun, arkitel hotel tersebut berkata ia bukan sekadar memecahkan rekod dunia, sebaliknya dia mencipta struktur sebegitu untuk mendapatkan tumpuan dari seluruh dunia mengenai sebuah pekan kecil yang dianggap sebagai rumahnya.

Pencipta hotel tersebut, Ary Indra berasal di Salatiga, Jawa Tengah. Setelah tamat belajar untuk menjadi seorang arkitek dan bekerja di Jakarta dan Singapura, dia memutuskan untuk pulang ke kampung halamannya di Salatiga.

Berbekalkan ilmu dan pengalamannya dalam seni bina, dia berazam untuk menggunakan kemahirannya itu di kampung asal-usulnya sendiri, Salatiga. Awalnya, dia terjumpa sebidang tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa.

Kini, di situlah terletaknya hotel PituRooms yang mempunyai tujuh bilik. Hotel itu mendapat namanya daripada perkataan Pitu yang bermaksud tujuh dalam bahasa Jawa. Ia hanya berukuran 2.8 meter (sembilan kaki) lebar.

Kredit gambar: Dhaha News

Hotel itu mempunyai lima tingkat, dan setiap tujuh bilik yang terdapat di dalamnya boleh memuatkan sebuah katil bersaiz double dan sebuah bilik mandi serta tandas. Setiap bilik itu juga mempunyai daya tarikan yang berlainan hasil daripada karya seni tempatan dan dalaman.

“Saya mahu orang ramai merasai pengalaman Salatiga dengan cara yang baru.

“Hotel ini milik saya sendiri, dan saya berserta pasukan saya sendiri mereka hotel ini dan mengendalikannya.

“Tempat ini telah menjadi sebuah platform baru untuk saya untuk melakukan sebuah pelancongan yang melibatkan masyarakat tempatan,” kata Indra kepada CNN.

Kredit gambar: IG Pitu Rooms

Salatiga terletak di Jakarta Tenggara dan ia tidak diketahui oleh pelancong luar negara yang pergi bercuti ke Yogyakarta, Surabaya, ataupun di pulau yang berdekatan dengan Bali.

Indra berkata kepada CNN bahawa PituRooms telah dibuka sejak bulan Disember tahun 2022 dan difahamkan, hanya lima peratus sahaja tetamu dari luar yang bukan warga Indonesia.

Bandar Salatiga

Menurut Indra, Salatiga merupakan salah sebuah bandar kecil yang terkenal dengan makanan, infrastruktur dan kualiti hidup yang baik di dalam Indonesia. Bandar ini merupakan lokasi pilihan bercuti pada hari minggu oleh orang Belanda pada zaman penjajahan.

Selain itu, bandar Salatiga ini terletak di kaki Gunung Merbabu yang boleh dilihat oleh pengunjung di PituRooms dari bilik-bilik mereka.

Indra menambah bahawa kebanyakan orang Indonesia mengatakan Salatiga merupakan tempat yang terbaik untuk bersara.

Kredit gambar: Dhaha News

Namun, dia berharap agar projek PituRooms itu akan disusuli dengan projek-projek lain agar pelancong luar dapat mengenali Salatiga dengan lebih lagi.

“Selain daripada masalah teknikal, masalah terbesar ialah cara pemikiran industri perhotelan yang telah lazim dengan perkataan seperti paling besar, tinggi dan mewah.

“Untuk kami pula, hotel kami adalah yang terkurus,” ujarnya kepada Dezeen, sebuah blog seni bina.

Tambahnya lagi, “Kami telah berkerja keras untuk menjadikan kekurangan ini sebagai satu titik jualan kami yang terkuat.

“Hotel ini mempunyai ruang mikro yang mungkin dapat membantu para tetamu untuk mengalami kemungkinan untuk hidup dengan keadaan ruang yang cukup-cukup,”

PituRooms juga mempunyai sebuah restoran di bahagian atas bumbung yang boleh dinikmati oleh orang tempatan. Hotel itu juga bercadang untuk menganjurkan pameran seni dan acara-acara lain.

Sumber: CNN

BACA JUGA: Ini Lima Negara Tanpa ‘Airport’ Kerana Terlalu Kecil

Nurul Alya