Kuala Lumpur, 20 November 2023 – Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) pada Sabtu lalu berkongsi kegembiraan bersama lebih seratus (100) anak-anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras menerusi Program Riadah Kasih yang disertai seramai seratus sepuluh (110) orang pegawai Kumpulan AmanahRaya bertempat di Taman Tema air Wet World, Shah Alam.
Program yang buat julung kalinya diadakan merupakan kesinambungan daripada beberapa inisiatif tanggungjawab sosial korporat AmanahRaya sepanjang tahun 2023 untuk membantu golongan yang memerlukan.
Yang Berusaha Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya dalam ucapannya berkata, ‘sebagai sebuah institusi kerajaan yang menyumbang ke arah pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat, aktiviti CSR ini adalah bukti komitmen AmanahRaya untuk membina hubungan baik dengan komuniti yang terdiri daripada pelbagai golongan sasar khususnya kanak-kanak.
Program kali ini bukan sahaja untuk memberi pendedahan dunia luar kepada anak-anak seperti beriadah, berkelah, menaiki ‘water ride’ yang ada di sekeliling kita, tetapi juga untuk mencipta kenangan, satu memori yang berkekalan dan yang paling penting ianya dapat memberi impak positif kepada kehidupan anak-anak yang hebat ini.’
Selain terbabit dengan aktiviti bersama anak yatim, Amanah Raya Berhad bersama tiga (3) Anak Syarikat di bawah Kumpulan AmanahRaya iaitu AmanahRaya Trustees Berhad, AmanahRaya Investment Management Sdn. Bhd. dan AmanahRaya-Kenedix Reit Sdn. Bhd. telah pun melaksanakan sebanyak sebelas (11) program CSR yang mensasarkan kepada pelbagai golongan seperti pelajar-pelajar universiti awam, golongan terkesan dengan banjir, ibu tunggal yang menceburi bidang perniagaan industri kecil dan sederhana.
Tidak terkecuali juga aktiviti CSR yang menyokong amalan persekitaran seperti membiayai keperluan perubatan dan makanan spesis ‘King Cheetah’ yang berada di Zoo Negara. Aktiviti tersebut adalah aktiviti CSR yang ke-12 diadakan bagi tahun 2023 ini, tambah beliau.