Kuala Lumpur, 20 November 2023 – Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir telah menyempurnakan perasmian Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai 2023 yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 16 November lalu.
Seminar ini dianjurkan bagi memperluaskan lagi kolaborasi, pengalaman dan kerjasama strategik di antara pihak berkepentingan dalam menangani pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai. Seminar ini menyasarkan penyertaan lebih 200 orang wakil agensi khususnya pemaju perumahan, kontraktor penyelamat serta pelikuidasi untuk menerokai usaha pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.
Menurut YB Timbalan Menteri “Sejak tahun 2011, Kerajaan telah menyediakan siling peruntukan berjumlah RM326.92 juta dan sehingga kini sejumlah RM230.24 juta daripada peruntukan tersebut telah dibelanjakan untuk memulihkan 32 projek yang meliputi 5,827 unit perumahan swasta mampu milik terbengkalai sehingga memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC) atau Perakuan Kelayakan Menduduki (Certificate of Fitness for Occupation, CFO) yang telah memberi manfaat kepada 5,048 orang pembeli.
Malah pada tahun ini, 2023 Kerajaan telah memberikan dana tambahan sebanyak RM20 juta bagi pemulihan 16 lagi projek terbengkalai. Bajet ini bertujuan untuk mendapatkan perakuan CFO & CCC untuk 16 projek yang bakal memberikan manfaat kepada 2,047 pembeli yang terjejas. Kesemua projek ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
Seminar ini julung kali diadakan pada tahun ini susulan daripada langkah Task Force Projek Perumahan Sakit Dan Terbengkalai (TFST) untuk meningkatkan usaha proaktif menambahbaik ekosistem perumahan negara. Sebagai menghargai kejayaan pemaju yang telah berjaya memulihkan projek terbengkalai, YB Timbalan Menteri juga berkesempatan untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga pemaju iaitu:
i) Quantum Developer Lines Sdn Bhd yang telah berjaya memulihkan projek perumahan Taman Tunku Yaacob, Kota Setar, Kedah sehingga siap dengan CFO pada 17 September 2023;
ii) Rumpun Ehsan Sdn Bhd yang telah berjaya memulihkan projek perumahan Lot 927, Sepang, Selangor sehingga siap dengan CCC pada 13 Julai 2023; dan
iii) Thirty Three Development Sdn Bhd yang telah berjaya memulihkan projek perumahan Lot 5918-5927, Mukim Bukit Besar, Kuala Terengganu sehingga siap dengan CCC pada 5 Januari dan 10 Januari 2023. Ketiga-tiga pemajuan terbengkalai tersebut berjaya dipulihkan oleh pemaju asal melalui kaedah penyelesaian sehingga memperoleh CCC/CFO.
Menurut YB Timbalan Menteri, “Seminar seumpama ini diharapkan dapat menjadi ruang percambahan minda bagi memperluaskan pandangan pihak-pihak yang terlibat dalam industri perumahan sehingga membuahkan hasil yang positif.
“Saya amat berharap kesemua peserta seminar dapat mengutip serba sedikit pengalaman yang dikongsikan serta memainkan peranan masing-masing dengan efektif bagi memastikan bahawa industri pemajuan perumahan di negara ini dapat terus berkembang subur secara progresif dan dinamik demi kesejahteraan rakyat”.
Sehingga 30 September 2023, terdapat sebanyak 68 projek lewat, 476 projek sakit serta 111 projek telah disahkan terbengkalai. Semua projek lewat, sakit dan terbengkalai membawa Nilai Pembangunan Kasar (Gross Development Value, GDV) sebanyak RM79.03 bilion.
Setakat tarikh tersebut, sebanyak 301 projek (38,752 unit rumah) dengan nilai GDV sebanyak RM28.88 bilion telah berjaya dipulihkan, jumlah ini turut meliputi pemulihan 8 projek perumahan swasta terbengkalai yang membawa nilai GDV sebanyak RM574.08 juta sejak penubuhan Pasukan TFST.
Secara kumulatif, sehingga ke tarikh tersebut, KPKT telah berjaya memulihkan sebanyak 266 projek perumahan swasta terbengkalai yang melibatkan sebanyak 67,773 unit rumah serta 46,229 pembeli.
Seminar yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, YBrs. Tuan Haji Suhaimi bin Ali @ Ahmad, wakil-wakil dari Agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dan pemaju serta pelikuidasi ini juga turut melaksanakan sesi libat urus projek terbengkalai di Malaysia pada sebelah petang.
Sesi tersebut diadakan bagi memberi pendedahan dan berkongsi maklumat kepada pemaju atau mana-mana pihak yang berminat untuk memulihkan atau menyelamatkan projek terbengkalai dan sekiranya berminat, boleh menghubungi Jabatan Perumahan Negara melalui emel [email protected]
KPKT melalui Pasukan TFST akan meneruskan lagi usaha melalui kerjasama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi-agensi teknikal serta kesemua pihak berkepentingan dalam projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai bagi memastikan projek-projek tersebut dapat kembali lancar dan dipulihkan demi kesejahteraan pembeli rumah yang terkesan dengan masalah tersebut.