Siakap Keli
Israel Hamas setuju gencatan senjata
Kredit AFP

Israel, Hamas Setuju Untuk ‘Kedamaian Sementara’ & Bebas Tahanan

Israel, Hamas Setuju Untuk ‘Kedamaian Sementara’ & Bebas Tahanan

Israel dan Hamas dilaporkan telah bersetuju untuk mengadakan ‘kedamaian sementara’ (truce) selama empat hari dan melakukan pembebasan tahanan, lapor AFP.

Berita itu telah diumumkan oleh wakil kedua-dua belah pihak dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan perjanjian itu selepas bermesyuarat hampir sepanjang malam bersama menteri kabinetnya.

Menurut AFP, Netanyahu dilapor memberitahu kabinet bahawa keputusan tersebut adalah sukar, namun perlu dilakukan.

Dalam pada itu, jurucakap Israel memaklumkan menerusi perjanjian tersebut, sekurang-kurangnya 50 orang warga Israel dan warga asing dibawah tahanan Hamas akan dibebaskan.

Tahanan-tahanan yang dibebaskan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Sebagai balasan, tiada operasi ketenteraan akan dijalankan selama empat hari. Manakala, bagi setiap tambahan 10 tahanan yang dibebaskan, tempoh ‘kedamaian sementara’ akan dilanjutkan selama satu hari.

Sebelum ini, Hamas mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersetuju untuk gencatan senjata.

Dalam pada itu, Hamas dalam satu kenyataan juga dilapor mengalu-alukan perjanjian ini yang menyaksikan 150 warga Palestin yang ditahan dalam penjara di Israel dibebaskan.

Manakala sumber Hamas dan satu lagi kumpulan pula memberitahu AFP bahawa ‘kedamaian sementara’ itu juga melibatkan gencatan senjata dan Israel menghentikan operasi udara di Selatan Gaza.

Tempoh ‘kedamaian sementara’ ini dijangka akan memberikan peluang kepada orang awam di Gaza untuk menarik nafas lega, sekurang-kurangnya untuk tempoh sementara, selepas lebih 7 minggu konflik berlangsung.

Selain kemusnahan harta benda dan kediaman, orang awam disana juga berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan, bekalan air dan juga bekalan bahan api untuk meneruskan kehidupan.

Justeru, perjanjian ‘kedamaian sementara’ ini juga akan membenarkan sehingga 300 buah trak yang membawa bekalan makanan dan perubatan memasuki Gaza.

Terdahulu, beberapa pemimpin utama dunia termasuk pemimpin-peminpin BRICS meningkatkan tekanan dan mendesak gencatan diadakan supaya bantuan kemanusian dapat segera dihantar ke Gaza.

Manakala Presiden China, Xi Jinping mendesak agar Hamas dan Israel melakukan gencatan senjata dan membebaskan tahanan.

BACA: Lain Dari Lain, Chef Ni Buat Drama Pendek Untuk Kongsi Resipi, Jalan Cerita ‘Plot Twist’ Habis

Sumber: AFP

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka