Siakap Keli
Stellantis di Malaysia

Stellantis Tubuh Syarikat Jualan Nasional Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 November 2023 – Stellantis N.V. (Stellantis), salah satu pengeluar kereta dan penyedia mobiliti terkemuka dunia, akan menubuhkan Syarikat Jualan Nasional (NSC) baharu di Malaysia pada suku pertama 2024.

NSC baharu menjadi entiti rasmi Stellantis yang akan mengemudi dan menguruskan aspek pengedaran dan jualan kenderaan pengeluar kereta itu di Malaysia. Perubahan dalam strategi perniagaan itu adalah sebahagian daripada cita-cita pertumbuhan Stellantis di rantau ASEAN, selaras dengan rancangan elektrifikasinya serta strategi Global Dare Forward 2030 Stellantis. 

Sejajar dengan peralihan strategik, Bermaz Auto Alliance (BAA), anak syarikat 55% milik Bermaz Auto Berhad (Bermaz Auto) dan pengedar semasa jenama PEUGEOT di Malaysia, akan terus bekerjasama dengan Stellantis bagi penjualan kenderaan menerusi rangkaian pengedarnya. 

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan strategi perniagaan baharu bagi menyediakan pasaran Malaysia lebih banyak produk dan perkhidmatan di bawah pembentukan NSC. Ini termasuk pengenalan jenama baharu pada masa hadapan di Malaysia di bawah portfolio Stellantis,” kata Daniel Gonzalez, Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN. 

Stellantis di Malaysia

Gonzalez turut menyatakan penghargaan kepada Bermaz Auto, dengan memberi penekanan terhadap peranan pentingnya dalam mewujudkan kehadiran kukuh jenama PEUGEOT di Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu. 

“Bermaz Auto yang menjadi rakan kongsi penting dan telah membina asas kukuh jenama PEUGEOT di Malaysia sejak Disember 2020, akan memberi sokongan padu terhadap peralihan kami dalam pembentukan NSC. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Sri Ben Yeoh, Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, dan pasukannya di atas segala apa yang telah dilaksanakan Bermaz Auto dalam membangun jenama Peugeot seperti yang dicapai ketika ini,” tambah Gonzalez. 

NSC di Malaysia akan diketuai oleh Jamie Francis Morais, yang merupakan Ketua Selepas Jualan semasa bagi operasi ASEAN & Pengedar Am untuk Stellantis. Morais ialah seorang profesional dengan pengalaman selama 19 tahun dalam industri automotif dalam jenama global yang terkenal termasuk Toyota, BMW, Nissan dan Proton. Latar belakang kepimpinannya yang luas merangkumi operasi yang berbeza termasuk selepas jualan, rangkaian, perkhidmatan pelanggan, kualiti, jualan dan latihan.

BAA akan terus bekerjasama dengan Stellantis dalam tempoh peralihan terbabit, dengan kedua-dua syarikat kekal teguh dengan komitmen mereka untuk terus berkhidmat kepada pelanggan PEUGEOT dengan menawarkan servis tanpa gangguan, alat ganti, waranti dan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia.

Tan Sri Dato’ Sri Ben Yeoh berkata, “Bermaz Auto menyokong penuh cita-cita global Stellantis, selaras dengan strategi Dare Forward 203, dan berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam langkah berani ini pada masa hadapan.”

“Dari permulaan perkongsian kami, kami menerima pakai peranan sebagai penjaga jenama PEUGEOT di Malaysia, kerana kami bersungguh-sungguh dalam membina jenama ini. Justeru, pada 2020, kami dengan senang hati menerima cabaran dan bersama-sama pasukan Stellantis. Kami bekerja dengan gigih untuk mengembangkan lagi jenama ini di Malaysia. Hari ini, kami bangga kerana dapat mengemudinya ke arah di mana Stellantis bersedia untuk melangkah lebih jauh. Kami menyokong penuh cita-cita global Stellantis,” katanya. 

Stellantis di Malaysia

Hala tuju dan strategi baharu Stellantis untuk rantau ASEAN termasuk cita-cita elektrifikasinya, dan menilai potensi kilang di Gurun, Kedah sebagai hab pembuatan serantau untuk menghasilkan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) untuk pasaran domestik dan eksport di ASEAN, selain memacu penggunaan BEV di rantau ini. 

Keutamaan serantau berkisar pada komitmennya terhadap kelestarian di bawah strategi Dare Forward 2030 Stellantis. Pembuat kereta itu melabur lebih RM2 bilion (€400 juta) untuk memperkenalkan platform STLA Medium ke rantau ASEAN. Platform modular-by-design ini membolehkan Stellantis menghasilkan kenderaan berbilang tenaga (BEV, ICE, MHEV) dan mewujudkan pemasangan tempatan dari jenama Stellantis seperti Jeep dan Citroën. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: