Siakap Keli
Kadar Pengangguran Belia Penurunan Selangor
Kredit: Bernama

Kadar Pengangguran Belia Terus Catat Penurunan Di Selangor – EXCO

Kadar Pengangguran Belia Terus Catat Penurunan Di Selangor – EXCO

SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) — Kadar pengangguran belia di Selangor terus menunjukkan trend penurunan apabila mencatat 5.5 peratus pada 2022 berbanding 6.8 peratus pada tahun sebelumnya, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata ia berikutan berlakunya perubahan dalam trend pencarian kerja yang ketara terutama melibatkan golongan belia dan dalam masa sama, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan kadar pengangguran.

“Pada 2022, bilangan penganggur belia di Selangor merekodkan seramai 67,200 orang berbanding 94,800 orang pada 2021. Dari segi kadar pengangguran (2022) pula mencatatkan penurunan 1.3 mata peratus berbanding 2021,” katanya ketika menjawab pertanyaan Pua Pei Ling (PH-Bukit Lanjan) berhubung kadar pengangguran di negeri itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Katanya, penganggur bermaksud mereka yang tidak bekerja dan sedang mencari pekerjaan manakala belia mengikut definasi Dasar Belia Malaysia (DBM) adalah merujuk kepada penduduk dalam kumpulan umur 15 hingga 30 tahun.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata dalam usaha untuk membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia di Selangor, pihaknya menggalakkan golongan tersebut menyertai sektor ekonomi gig sebagai alternatif kepada penjanaan pendapatan.

“Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) adalah usaha untuk terus membantu kumpulan ini, sekali gus menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor terkini. Subsidi sebanyak RM550 yang disediakan oleh kerajaan negeri kepada golongan anak muda.

“Pada 2022 dan tahun ini juga, kerajaan negeri telah melaksanakan tiga siri Selangor Mega Job Fair yang menawarkan lebih 50,000 peluang pekerjaan. Kami juga mengadakan kerjasama dengan pihak industri bagi menyediakan peluang pekerjaan bagi golongan OKU,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) berkenaan Talian Selamat – Talian Hotline Keganasan Rumah Tangga, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata 24 panggilan diterima di negeri itu setakat Januari dan Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 18 kes membabitkan kes keganasan rumah tangga manakala enam lagi bukan dari sektor berkenaan.

“Bilangan tenaga kerja Talian Selamat dilancar pada tempoh kawalan pergerakan adalah 12 orang termasuk seorang eksekutif sokongan krisis. Namun, bermula Jun lalu ia dikendali sepenuhnya eksekutif sokongan dengan jumlah peruntukan RM48,961.45,” katanya.

BACA: Rupanya Kena Pulang Balik, Kenali Xyloband, Gelang Cahaya Dipakai Peminat Coldplay

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.