Boleh Berlaku Kepada Kanak-Kanak & Dewasa, Ketahui Apa Itu “Sensory Overload”
Pernah tak apabila anda sedang meluangkan masa bersama keluarga atau kawan-kawan, anda rasa seperti keadaan sekeliling terlalu bising. Hakikatnya, persekitaran anda tidaklah terlalu bising. Pernah tak anda rasa seperti keadaan terlalu terang? Ataupun, rasa baju anda amat tidak selesa pada ketika itu?
Jika anda pernah mengalami keadaan seperti ini, anda mungkin mengalami sensory overload. Selain daripada yang dinyatakan, terdapat banyak lagi gejala sensory overload ini. Ikuti perkongsian ini untuk memahami apa itu sensory overload.
Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sensory Overload?
Sensory overload berlaku apabila deria rasa, penglihatan, pendengaran, sentuhan dan bau menjadi terlalu sensitif. Ia boleh terjadi apabila anda berada di dalam restoran yang padat dengan pengunjung, radio yang dipasang terlalu kuat atau terdapat seseorang yang memakai minyak wangi yang kuat melintasi anda.
Dalam situasi yang dinyatakan, otak anda akan mendapat informasi yang terlalu banyak sehingga ia tidak dapat memproses segala info dengan baik. Sensory overload akan membuat anda rasa tidak selesa. Ia boleh terjadi kepada kebanyakan orang dan kebiasaannya mereka akan mengalami sensory overload ini beberapa kali saja dalam hidup.
Tetapi, terdapat juga yang kerap mengalaminya sehinggakan ia mengganggu kehidupan harian. Malah, mereka mungkin mengalami kesusahan ketika berada di sekolah, pejabat, dan kafetaria kerana tempat-tempat itu boleh menyebabkan mereka mengalami sensory overload.
Gejala-Gejala Sensory Overload
Setiap orang mengalami sensory overload yang berbeza, ada yang lebih sensitif terhadap bunyi dan ada yang lebih sensitif kepada tekstur sesuatu benda itu. Antara gejala yang sering dialami ialah tidak dapat mengabaikan bunyi yang kuat, bau yang kuat, atau input deria yang lain.
Selain itu, mereka turut mengalami rasa tidak selesa, rasa gelisah dan takut, dan mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap pakaian ataupun tekstur yang lain.
Bukan itu sahaja, apabila mengalami sensory overload, mereka turut rasa tidak senang duduk, tertekan dan juga mengalami insomnia. Kanak-kanak pula mungkin mengalami gejala seperti, kegelisahan, mengelak tempat-tempat yang tertentu, kerap menutup mata atau menutup muka mereka, menangis, menekup telinga dengan tangan dan juga tidak dapat berinteraksi dengan orang lain.
Punca
Sensory overload kebiasaannya berlaku kerana otak anda mengalami kesukaran untuk mentafsir, mengutamakan atau memproses informasi yang disampaikan oleh deria-deria anda. Hal ini mengakibatkan otak anda untuk ‘berkomunikasi’ dengan badan dan ‘mengatakan’ bahawa anda perlu menjauhkan diri daripada informasi deria itu. Ia menjadi punca anda rasa gelisah dan tidak selesa.
Bagi individu yang mengalami masalah ini dengan kerap, ia juga mungkin berkait dengan sensory processing disorder.
Terdapat satu kajian yang mendapati kanak-kanak yang mengalami sensory processing disorder, mempunyai struktur otak yang berbeza. Para penyelidik mencadangkan bahawa perbezaan struktur itu menjadi kefahaman biologi untuk masalah memproses deria. Tetapi, tidak semua yang mengalami masalah ini akan mempunyai perbezaan struktur otak.
Sensory Overload Dalam Kanak-Kanak
Kanak-kanak sering mengalami sensory overload. Dalam sebuah laporan pada 2018, dikatakan bahawa satu antara setiap enam orang kanak-kanak mengalami masalah untuk memproses deria mereka. Untuk sesetengah kumpulan, terdapat peratusan daripada 80 peratus hingga 100 peratus yang menunjukkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah ini.
Antara kumpulan tersebut termasuklah kanak-kanak autisme, kanak-kanak yang mengalami fetal alcohol syndrome, dan kanak-kanak Sindrom Down. Kebiasaannya, sensory overload sukar untuk dikenalpasti sekiranya ia berlaku kepada kanak-kanak.
Kebanyakan ibu bapa atau penjaga akan menganggap kanak-kanak itu sedang menunjukkan kelakuan yang buruk apabila mereka mengalami gejala-gejala tersebut. Hal ini kerana, mereka mungkin melarikan diri daripada situasi-situasi tertentu, mengalami tantrum, ataupun mereka kelihatan gelisah dan mudah marah.
Sekiranya kanak-kanak itu tiada gejala yang berkaitan, mereka mungkin mengalami sensory overload kerana otak mereka masih dalam proses untuk berkembang. Jadi, ibu bapa dan penjaga haruslah belajar cara-cara mengenalpasti punca, tanda-tanda dan juga gejalanya.
Tindakan yang pantas boleh mengurangkan impak terhadap kanak-kanak itu dan dapat membantu untuk mengawal reaksi mereka.
Keadaan Lain Yang Boleh Berkait
Terdapat beberapa keadaan lain yang berkait rapat dengan sensory overload ini. Antaranya adalah, autisme, ADHD, PTSD, sensory processing disorder, dan lain-lain.
Autisme
Seseorang yang mengalami autisme akan berkemungkinan untuk mengalami sensory overload, kerana kebiasaannya, mereka mempunyai pandangan terhadap informasi deria yang berbeza. Apabila seseorang yang autistik menjadi terlalu sensitif dengan deria mereka, meltdown akan berlaku.
Meltdown yang dialami mungkin menyebabkan mereka untuk menangis, menjerit, melarikan diri, atau tidak bertindak balas dengan sebarang rangsangan daripada persekitaran.
ADHD
ADHD atau Attention-Deficit Hyperactivity Disorder dan sensory overload juga akan berkaitan antara satu sama lain. Untuk seseorang yang mengalami ADHD, input deria mereka akan ‘berlawan’ untuk mendapatkan perhatian daripada otak. Ini boleh menyebabkan sensory overload kepada mereka.
Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan, individu yang mengalami ADHD lebih mudah untuk terdedah kepada sensory overload ini apabila mereka berdepan dengan jenis maklumat deria tertentu seperti tekstur makanan atau pakaian.
PTSD
Seseorang yang mengalami Posttraumatic Stress Disorder akan menjadi terlebih sensitif terhadap persekitaran mereka yang boleh membawa kepada sensory overload. Kebanyakan orang yang mengalami PTSD kebiasaannya mengalami satu atau lebih peristiwa traumatik.
Sensory overload pula berlaku sebagai satu tindak balas terhadap punca yang mengingatkan mereka kepada peristiwa itu.
Sensory Processing Disorder (SPD)
SPD merupakan satu gangguan neurologi yang berlaku apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk bertindak ke atas satu input deria. Kebiasaannya, gangguan ini mempunyai dua jenis.
Pertama adalah hypersensitivity. Ia merujuk kepada seseorang yang mengalami sensitiviti yang melampau terhadap bau, bunyi, rasa ataupun tekstur. Seseorang itu mungkin akan menjauhi kesemua deria ini kerana ia amat keterlaluan untuk mereka.
Seterusnya adalah hyposensitivity. Ia juga dikenali sebagai sensory seeking yang berlaku apabila seseorang itu mencari ransangan deria seperti sentuhan ataupun rasa tekanan fizikal. Sesetengah orang mempunyai kedua-duanya sekali dan ia boleh berlaku kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa.
Diagnosis
Masalah sensory overload ini bukanlah satu gangguan yang dikatakan sebagai gangguan official. Jadi, agak mustahil untuk mendapatkan diagnosis yang formal daripada doktor.
Tetapi, kebanyakan doktor dan pakar kesihatan yang profesional dapat mengenalpasti sensory overload terutama sekali pada seseorang yang autistik, mengalami ADHD dan juga masalah lain yang mungkin berkait.
Sebelum bercakap dengan mana-mana doktor mengenai sensory overload, anda disarankan untuk menulis tanda-tanda atau punca yang dialami bagi membantu doktor memberikan diagnosis yang tepat.
Punca-puncanya termasuklah rangsangan yang tertentu seperti bunyi yang kuat dan lampu yang terlalu terang. Terdapat juga faktor dari segi fizikal dan mental seperti mengalami kemurungan ataupun dehidrasi.
Kanak-kanak yang berkemungkinan mengalami sensory overload pula akan dirujuk kepada pakar pediatrik atau occupational therapist bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Rawatan
Tiada rawatan yang khusus untuk merawat sensory overload ini. Kebiasaannya, tujuannya adalah untuk membantu mereka yang mengalami sensory overload supaya mereka dapat mengawal reaksi mereka.
Kanak-kanak yang mengalami masalah ini mungkin boleh dibantu oleh occupational therapist, kerana mereka boleh mengubah persekitaran kanak-kanak itu bagi mengurangkan kemungkinan untuk mereka mengalami sensory overload.
Bagi seseorang yang mempunyai masalah kesihatan lain yang berkait rapat dengan sensory overload, pengambilan ubat dapat membantu mengurangkan kadar mereka mengalami masalah deria ini. Contohnya, sekiranya mereka seorang autistik, ubat aripiprazole (Abilify), dapat membantu mereka.
Selain itu, anda juga digalakkan untuk mempunyai tempat-tempat selamat yang boleh membantu anda menenangkan diri sekiranya mengalaminya di tempat kerja, sekolah atau di tempat lain. Tidur dan minum air secukupnya juga dapat membantu.
Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa dan penjaga boleh membantu dengan menjauhkan mereka daripada pencetus sensory overload mereka. Ibu bapa juga boleh membenarkan anak-anak untuk menjelaskan apa yang mereka rasa, dan memahami perasaan itu.
Kesimpulannya, sensory overload ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutama sekali individu yang mempunyai ADHD ataupun autisme.
Individu yang mengalaminya boleh mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mencetuskan sensory overload mereka. Sekiranya kerap mengalami masalah ini, anda digalakkan untuk dapatkan nasihat doktor.
Sumber: Medical News Today
BACA JUGA: Sakit Kepala Lama, Rupanya ‘Chopsticks’ Dalam Tengkorak